Bagaimana McDonald's Malaysia Memperbodohkan Rakyat Malaysia

Masuk 3 Syawal, tiba-tiba McDonald's Malaysia bersuara melalui Berita Harian. Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Wan Mohd Zam Wan Embong tampil memberikan kenyataan. Mungkin mereka sudah 'panas punggung' atas boikot yang berlarutan.

Membaca sepintas lalu artikel tersebut, beliau dilihat cuba menggambarkan McDonald's Malaysia sebagai syarikat tempatan, mempunyai banyak kepentingan Melayu dan orang Islam yang hanya membayar 5 peratus royalti kepada McDonald's Corporation.

Tapi adakah benar gambaran yang dibawa oleh beliau? Mari kita semak fakta melalui dokumen maklumat syarikat Golden Arches Restaurant Sdn Bhd yang dibeli dari SSM. Kita juga lihat maklumat dari laman web rasmi mereka di www.mcdonalds.com.my terutamanya notis di halaman ini.
Banyak restoran McDonald’s milik penuh rakyat Malaysia
Kita tidak perlu pergi jauh pun - ada baiknya kita semak kebenaran fakta dalam headline atau tajuk artikel ini. Mengikut laman web rasmi mereka terdapat 242 outlet McDonald's Malaysia. Berapa banyak yang dikatakan banyak? 30 peratus? 40 peratus? Sekiranya 30 peratus harus ada 72 outlet, sekiranya 40 peratus harus ada 96 outlet.

Petikan dari notis di laman web mereka
Sebanyak 67 restoran kami dimiliki dan diusahakan oleh 27 francaisi tempatan, yang 40 peratus sehingga 50 peratus daripada mereka adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam.
Jumlah outlet berdasarkan maklumat di laman web rasmi mereka: 242

Hanya 67 outlet, jadi bila dikira peratusan outlet francais yang dimiliki rakyat Malaysia: 67 / 242 x 100% = 27.68%

Adakah 27.68% outlet dikira banyak? Apa yang pasti bukan majoriti. McDonald's Malaysia memiliki bakinya dan memiliki majoriti outlet.

Berapa banyak pula kepentingan Melayu?

Peratusan outlet francais yang dimiliki Melayu: (50% x 67) / 242 x 100% = 13.84%

Dengan hanya 13.84% outlet dimiliki oleh orang Melayu memang jauh panggang dari api hendak mengatakan McDonalds Malaysia adalah syarikat Melayu. Bukannya 50% outlet dimiliki orang Melayu!

Ahli lembaga pengarah yang seramai 10 orang pula hanya ada 2 orang pengarah Melayu!

Wan Mohd Zam berkata, hubungan antara McDonald’s Malaysia dan McDonald’s Corporation adalah atas dasar hubungan komersial yang mana pihaknya membayar royalti sebanyak lima peratus di atas hasil jualan. 
Adakah hubungan McDonald's Malaysia dan McDonald's Corporation setakat membayar royalti sahaja?

Semakan di SSM menunjukkan Golden Arches Restaturant Sdn. Bhd. mempunyai 20 juta saham biasa. Siapa pula pemiliknya?


McDonald's Corporation bukan setakat menerima royalti malah mempunyai saham majoriti dalam Golden Arches Restaurant's Sdn Bhd (McDonald's Malaysia). 

Tiada entiti Malaysia yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia.

Tiada entiti Melayu yang mempunyai pegangan saham secara langsung dalam McDonald's Malaysia.

Melayu sekadar majoriti pekerja dan minoriti pemilik outlet McDonald's Malaysia.

Tajuk artikel pun sudah memberi gambaran salah. Sejauh mana lagi McDonald's Malaysia mahu memperbodohkan rakyat Malaysia?

Eksploitasi Emosi & Coca Cola

Kita tahu tentang senjata fizikal yang digunakan oleh Zionis Israel, kita juga tahu tentang senjata-senjata ekonomi yang mereka ada. Tapi tahukah kita tentang senjata psikologi mereka? Segala iklan dan kempen yang digunakan bagi menyokong aktiviti haram mereka?

Apa pentingnya kita tahu tentang senjata psikologi? Pertama, kita harus faham apa yang digunakan ke atas kita sebelum melawan kembali. Supaya kita berjuang dengan ilmu dan bukannya membuta tuli. Kedua, senjata psikologi iklan dan kempen marketing boleh kita buat sendiri tanpa belanja yang besar dalam masa yang singkat. Bukannya seperti membina senjata canggih atau membina empayar korporat.

Kali ini ini kita hendak cerita tentang eksploitasi emosi yang dilakukan Coca-Cola.

Eh cop, ada yang kata Coca-Cola tidak pun menyumbang kepada Israel?

Boikot tak berkesan?

Cuba fikir balik, adakah Coca-Cola itu berkhasiat? Isinya hanyalah kafein, gula yang banyak, gas dan air. Oh ya, juga entah bermacam lagi jenis bahan kimia. Bagaimana kita boleh ketagih dengan benda yang tidak ada faedah ini? Ketagih air gula - kan bodoh bunyinya! Kalau pun anda tidak peduli dengan orang yang jauh, cuba fikir tentang kesihatan diri sendiri.

Coca-Cola Hijack Ramadhan

Kempen marketing Coca-Cola mengeksploitasi emosi kita untuk ketagih pada perkara yang tidak berkhasiat. Iklan terbaru mereka bukan sahaja hijack Ramadhan malah hijack sunnah Rasulullah s.a.w.

Matlamat ulung mana-mana kempen marketing adalah membina habit pengguna untuk konsisten membeli sesuatu produk. Ada banyak strategi dan taktik yang digunakan bagi membina habit ini. Antaranya menggunakan selebriti, tajaan acara sukan, dan product placement dalam televisyen serta filem.


Bagi tujuan perbincangan kali ini kita lihat iklan video Coca-Cola yang terbaru sempena Ramadhan. Mari kita bedah bagaimana iklan ini hijack Ramadhan bagi membina habit pengguna. Kita akan menilai iklan ini melalui kerangka STEPPS yang dicipta oleh Jonah Berger dalam buku beliau Contagious.

Dalam Contagious, beliau menerangkan faktor-faktor yang menjadikan sesuatu perkara menjadi viral. Faktor tersebut bukan sahaja relevan kepada video YouTube dan protes, malah turut relevan kepada design produk serta servis.

6 Faktor viral: STEPPS

S – Social Currency
T – Triggers
E – Emotions
P – Public
P – Practical Value
S – Stories

Produk yang viral tidak semestinya mempunyai kesemua komponen dalam STEPPS tetapi lebih banyak lebih bagus. Seperti ABC, tetap menjadi sekiranya hanya ada ais dan sirap. Namun jika ditambah jagung, kacang dan jeli tentu lebih sedap.

Social Currency

Jenama Coca-Cola sudah mempunyai status yang tinggi. Sudah bertahun-tahun lamanya mereka meminjam dan membeli status daripada entiti-entiti lain. Antaranya dengan menggunakan selebriti bagi menjual produk mereka. Mereka juga tegar menaja acara-acara bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Jadi dalam bab ini mereka sudah ada berjuta-juta social currency.

Emotions


Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan konotasi emosi tersendiri. Banyak memori manis zaman kanak-kanak kita terpaut pada bulan ini. Tambah pula Ramadhan banyak menyaksikan kita balik kampung dan berbuka puasa bersama kaum keluarga. Tok, Nenek, sepupu-sepapat, pakcik makcik semuanya ada. Kalau tidak balik kampung pun, bulan Ramadhan kita berkumpul dan berbuka bersama rakan-rakan.



Bulan puasa juga dikaitkan dengan banyak juadah dan minuman-minuman isitimewa. Dalam iklan ini mereka menunjukkan ikan bakar, murtabak dan pulut panggang. Oleh itu, Coca-Cola juga mahu menyelit menjadi hidangan istimewa. Mereka mahu duduk di atas meja hidangan sewaktu kerana kononnya mereka juga istimewa.




Cuba bayangkan kalau di waktu panas tengahari tiba-tiba ada orang berikan orang kita air. Tentu kita akan ingat orang tersebut kerana waktu itu kita lebih emosional berbanding rasional. Air kosong biasa pun akan terasa sangat sedap. Memori emosional juga lebih kuat berbanding memori rasional.

Waktu berbuka pula adalah antara waktu yang jauh lebih emosional berbanding dahaga biasa. Iyalah, kita sudah seharian menahan lapar dan dahaga. Duduk pula bersama kaum keluarga atau rakan-rakan. Itu semua membina keadaan emosi yang akan menjadikan apa sahaja perkara pertama masuk mulut kita menjadi lebih sedap dan melekat di minda.

Triggers

Komponen ini adalah kunci bagi iklan Coca-Cola sempena Ramadhan. Selama ini memang sudah banyak iklan mereka yang mencipta habit dahaga = minum Coca-Cola. Kali ini mereka naik setingkat lagi dengan memilih trigger yang lebih berkuasa berbanding dahaga biasa iaitu lapar dan dahaga seharian berpuasa. Kita juga maklum bahawa trigger ini juga mempunyai konotasi emosi yang sangat kuat.



Iklan ini mahu habit ini terbentuk dalam minda pengguna - buka puasa = minum Coca-Cola.



Tidak cukup dengan itu, iklan ini juga menafikan habit umat Islam yang sedia ada. Dalam video ini langsung tiada kurma. Kemudian bila berbuka puasa sahaja terus minum Coca-Cola, tidak makan buah pun terlebih dahulu.



Iklan terbaru mereka bukan sahaja hijack Ramadhan malah hijack sunnah Rasulullah s.a.w.

Budaya kita dieksploitasi.

Agama kita dieksploitasi.

Nabi kita dinyahkan.

Emosi kita dieksploitasi.

Adakah anda masih mahu ketagih minum air gula bergas dan berkafein ini?

Eksploitasi Emosi & Soul Searching

Selalunya saya diam sahaja isu boikot McDonalds, Nestle, Coca-Cola dan kuncu-kuncunya. Tapi kenapa sekarang saya nak cerita tentang emotional attachment kita terhadap mereka yang dibina melalui kempen marketing mereka? Emotional attachment yang menyebabkan kita liat hendak boikot?

Marketing adalah perkara yang saya buat setiap hari tidak kiralah hari itu saya memakai topi penulis, videographer, trainer atau sebagainya. Saya juga berkongsi dan mengajar tentang marketing. Propaganda politik untuk PRU saya pernah buat.

Marketing menggunakan kefahaman tentang psikologi manusia bagi menghasilkan kesedaran dan tindakan terhadap sesuatu perkara. Selalunya untuk buat orang tahu dan beli sesuatu produk. Produk yang dijual itu pula seharusnya memberi manfaat kepada pembeli.

Namun dalam banyak keadaan kuasa marketing disalahguna bagi membuatkan pengguna membeli produk yang tidak bermanfaat. Lebih teruk bukan setakat tidak memberi manfaat malah membawa mudharat. Semuanya atas nama keuntungan peribadi.

Sebetulnya saya ada hubungan yang komplikated dengan marketing. Saya asalnya tidak suka marketing, malah memandang jijik terhadap marketing. Tapi bila terlibat dengan bisnes maka mahu tidak mahu saya terpaksa jugalah belajar dan seterusnya menggunakan marketing. Kemudian saya mengajar tentang marketing.

Jadinya saya sekarang mengajar tentang perkara yang saya asalnya tidak suka.

Pada satu sisi saya melihat masih ramai usahawan yang memang clueless tentang marketing. Produk mereka yang bagus dan bermanfaat tidak sampai kepada mereka yang perlu dan mahu beli. Sudahnya bisnes bergerak dengan sangat perlahan dan akhirnya berhenti terus.

Sisi lain pula ada kelompok ‘usahawan’ yang overload segala trik marketing bagi menjual hampas dan sampah kepada pengguna. Punyalah overload sehinggakan pengguna yang tahu mereka jual sampah pun beli juga lagi.

Tapi untuk meninggalkan terus marketing pun tak boleh juga. NGO pun perlukan marketing untuk mengumpulkan dana dan membantu masyarakat. Pusat kutipan zakat pun boleh mengambil manfaat dari marketing.

Sejujurnya saya masih berbelah bahagi belajar dan mengajar marketing sepertimana berbelah bahagi belajar dan mengajar menggunakan senjata api. Jadi saya hendak menulis tentang eksploitasi emosi yang digunakan oleh jenama-jenama yang menjadi sasaran boikot.

Mungkin dengan itu saya dapat perhalusi apa yang boleh dan tak boleh dalam marketing. Apa yang mulia dan apa yang hina. Apa yang halal, harus, haram dan syubhah.

Psikologi Fundraising: Apa Yang Penyumbang Beli Sebenarnya?

Sebelum ini kita telah lihat bagaimana sebenarnya fundraising tidak jauh beza pun berbanding menjual barang lainnya. Duit daripada ramai individu berpindah milik dan dikumpulkan oleh sesuatu individu atau organisasi.

Persoalannya, apa yang pelanggan beli sebenarnya? Dalam konteks bisnes, selalunya orang beli produk, perkhidmatan atau gabungan kedua-duanya. Dalam konteks fundraising pula, tidak jelas apa yang ‘dijual’.

Kalau kita lihat dalam konteks bisnes, produk atau perkhidmatan sebenarnya memberikan satu atau beberapa Value Proposition kepada pelanggan. Antaranya performance, risk reduction, accessibility dan sebagainya.

Bila dilihat dari sudut pandang Value Proposition mudah sedikit untuk kita lihat apa yang ‘dibeli’ oleh para penyumbang.

Katakan Value Proposition Performance – sekiranya kita ada RM10 apa sangat yang boleh kita buat untuk membantu masyarakat. Mungkin duit minyak hendak cari orang yang hendak ditolong pun tak lepas. Tapi bila kita beri pada projek atau NGO, mungkin ada yang boleh beri makan sebuah keluarga sehari. Kalau pada kita habis seorang sekali makan sahaja.

Bagaimana pula dengan Value Proposition Risk Reduction? Kebanyakan daripada orang biasa tidak tahu siapa yang sebenarnya-benarnya memerlukan bantuan. Tambah pula banyak sindiket yang bertopengkan mengumpul derma. Projek atau NGO seharusnya mengurangkan risiko ini dengan memastikan wang penyumbang membawa manfaat sepatutnya.

Paling asas sekalipun, penyumbang ‘membayar’ NGO untuk Get Things Done atau menyelesaikan kewajipan mereka. Penyumbang rasa wajib membantu masyarakat tetapi tidak tahu bagaimana. Oleh itu projek atau NGO sebenarnya turut membantu para penyumbang selain sektor masyarakat yang menjadi sasaran NGO.

Tapi ini semua teknikal, kira-kira ringgit dan sen. Apa yang lebih penting adalah fitrah emosi manusia yang mendorong mereka untuk menyumbang.

Fitrah paling mendasar adalah dorongan semulajadi manusia yang mahu membantu orang lain. Mereka memang ada dorongan tersebut selagi tidak dihakis oleh pengalaman hidup yang negatif. Tapi ramai yang tidak ada masa atau keupayaan untuk membantu secara efektif. Oleh itu, menyumbang kepada NGO dilihat sebagai ‘jalan pintas’ untuk mereka.

Selain itu, manusia juga sebenarnya mencari harapan dan jalan membawa perubahan positif dalam dunia. Jadi mereka sangat suka bila ada pihak yang dapat menunjukkan dengan sumbangan sekian banyak akan dapat membawa sekian perubahan dalam dunia.

--

Ini adalah episod kedua dalam siri Psikologi Fundraising Untuk NGO. Mohon subscribe Grup Email Psikologi Fundraising supaya tidak terlepas siri ini dan memudahkan perbincangan lanjut.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

Psikologi Fundraising Untuk NGO: Pengenalan

Bila sebut tentang fundraising atau mengumpul dana, ramai yang terlupa bahawa sebenarnya fundraising masih lagi kerja sales & marketing. Sama sahaja seperti menjual roti, kereta, ubat kuat dan sebagainya. Apa yang berbeza hanyalah barang yang dijual.

Jika kita lihat account statement, tidak ada bezanya transaksi masuk duit beli barang dan menderma. Semuanya nampak sama sahaja. Apa yang berbeza adalah hasilnya - bisnes menjana keuntungan peribadi sedangkan fundraising membawa manfaat sosial.

Mengapa NGO atau aktivis perlu tahu tentang psikologi fundraising? Anda memang sudah dan akan terus menyumbang tenaga bagi melakukan fundraising tetapi adakah mahu terus berada di takuk lama? Sampai ke tua buat kerja seorang diri dan mengumpul dana gaya melukut di tepi gantang?

Apakah anda tidak mahu membina kempen fundraising yang mapan dan dapat membawa masuk dana secara konsisten? Antara kuncinya adalah psikologi. Ilmu ini akan membantu anda memahami cara manusia membuat keputusan dan seterusnya menjalankan kempen yang selari dengan psikologi mereka. Seterusnya mereka akan lebih cenderung untuk menyumbang kepada kempen anda.

Ini adalah win-win-win situation:

  1. Anda dapat mengumpul dana dengan efisyen
  2. Penyumbang suka cara anda mengumpul dana
  3. Projek anda dapat bergerak dan membawa manfaat sosial

Kembali pada sales & marketing - apa perbezaan dan perkaitan antara kedua-duanya?

Ramai usahawan keliru antara sales dan marketing. Mereka sangka sales adalah segala-galanya sedangkan sebenarnya sales adalah sebahagian kecil bisnes. Lebih tepat lagi, sales adalah sewaktu pelanggan membayar anda.

Marketing pula lebih menyeluruh. Fungsi utama marketing adalah mencipta kesedaran terhadap produk atau jenama. Marketing juga mencipta kesetiaan pelanggan dan membuatkan pelanggan bercerita tentang anda

Pendek kata, sales bersifat jangka pendek sedangkan marketing bersifat jangka panjang. Kedua-duanya penting bergerak seiringan bagi memastikan kelangsungan bisnes.

Sekarang kita tukar kepada konteks NGO pula;

Ramai NGO keliru antara sales dan marketing. Mereka sangka sales adalah segala-galanya sedangkan sebenarnya sales adalah sebahagian kecil bisnes. Lebih tepat lagi, sales adalah sewaktu penderma menyerahkan sumbangan kepada anda.

Marketing pula lebih menyeluruh. Fungsi utama marketing adalah mencipta kesedaran terhadap projek atau NGO anda. Marketing juga mencipta kesetiaan penderma dan membuatkan penderma bercerita tentang anda

Pendek kata, sales bersifat jangka pendek sedangkan marketing bersifat jangka panjang. Kedua-duanya penting bergerak seiringan bagi memastikan kelangsungan sesuatu projek atau NGO.

Bila semua sudah jelas dengan perkara ini, mudah untuk kita membincangkan psikologi fundraising. Kita akan menggunakan kerangka sales & marketing bagi membina kempen fundraising yang berjaya dan efisyen.

Kita akan mengupas psikologi fundraising secara lebih mendalam dalam entri-entri akan datang. Mohon subscribe Grup Email Psikologi Fundraising supaya tidak terlepas siri ini dan memudahkan perbincangan lanjut.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

Seni Berfikir Memecah Kebuntuan: Menukar Sudut Pandang Memudahkan Mencari Jalan Keluar

Saya tidak ingat berapa lama Ustaz Ismail Chong membebel - mungkin setengah jam, mungkin sejam. Saya tadah telinga sahaja kerana tahu masalah berpunca dari saya sendiri.

Namun akhirnya saya tidak kisah pun berapa lama beliau membebel kerana saya mendapat satu mutiara berharaga.

Kata beliau, “Masalah tidak dapat diselesaikan pada tahap masalah tersebut berlaku.”

Terang beliau, bayangkan anda sesat di dalam hutam. Sudah lama berjalan tetapi tidak ketemu juga jalan keluar. Anda sudah hampir putus asa tetapi anda terjumpa sebuah bukit. Terus sahaja anda panjat ke puncak dan dapat lihat keseluruhan kawasan hutan.

Dari puncak barulah anda dapat lihat anda sebenarnya berpusing-pusing di tempat yang sama. Jalan keluar pula sebenarnya di sebalik busut yang sudah banyak kali anda lintasi.



Nah, mudah bukan mencari jalan keluar dari aras yang lebih tinggi? Sama juga halnya dengan melalui maze atau pagar sesat. Apabila berada di dalam anda mudah menemui jalan buntu tetapi jika dilihat dari atas, jalan keluar jelas terbentang di depan mata.

Begitu juga dalam kehidupan seharian, kita mudah buntu apabila kita ‘tenggelam’ dalam masalah tersebut. Tetapi bila kita dapat ke aras lebih tinggi dan melihat keseluruhan masalah secara objektif semuanya akan kelihatan enteng sahaja.

Soalnya, bagaimana kita hendak pergi ke aras yang lebih tinggi? Nantikan kupasan dalam entri seterusnya.

Tidak Semua Projek Besar Perlu Modal Ratus Ribu

Antara projek besar itu adalah siri animasi - kerana apa yang paling penting adalah mencipta konsep dan watak yang disukai audiens.

Oleh sebab itu kami tidak mohon geran.

Kerana itu jugalah kami tidak pitching kepada stesen TV.

Keupayaan mencipta konsep dan watak animasi yang menarik tidak ada kena-mengena dengan jumlah wang di tangan. Ini soal 'taste', seni dan keberanian. Malah, wang yang banyak mungkin mengalihkan perhatian daripada perkara pokok yang patut difokuskan.

Bila wang banyak, kita cenderung untuk sibuk dengan perkara-perkara picisan. Sewa ofis di mana, mahu cat dinding warna apa, beli kereta apa dan seribu satu kemengarutan lain. Itulah yang berlaku kepada rakan kepada rakan saya, habis duit RM200,000 setup studio animasi tetapi tiada sebarang hasil.

Tapi bila kami ada duit cukup sekadar untuk perkara yang betul-betul wajib, kami fokus untuk mencipta konsep & watak yang menarik. Dengan mencuri masa di celah-celah tugas dan projek lain, dengan izinNya kami berjaya menghasilkan video pertama minggu lepas bertajuk Alif Ba Ta.


Alhamdulillah, hipotesis awal kami ternyata betul bagi audiens Malaysia. Data Audience Retention dari YouTube menunjukkan video kami berjaya mengekalkan perhatian penonton hingga ke akhirnya. Secara puratanya, kami mencapai aras above average bagi keseluruhan video.



Mengikut Business Model Canvas, ini bermakna kami telah berjaya mencapai padanan antara blok Value Proposition dan Customer Segment. Maka selesai satu aspek penting dan selepas ini kami boleh fokus untuk membina blok-blok business model yang lain terutamaya Revenue Stream & Cost Structure.

Nantikan lebih banyak video daripada kami. Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi mendapatkan perkembangan terkini.



Ada Pitching ke Stesen TV?

Adakah siri Meo & Mama pernah dicadangkan kepada mana-mana stesen TV?

Meo & Mama bukanlah siri yang ditolak konsepnya oleh stesen TV tetapi mengapa sengaja direka untuk terus ke web. Ada pelbagai saluran di web yang boleh digunakan antaranya YouTube, digital download dan iTunes.

Ada banyak sebab mengapa kami tidak mengendahkan untuk pitching ke stesen TV dan terus ke web. Memang pelik kerana banyak syarikat animasi lain mengejar kontrak stesen TV. Iyalah, syarikat boleh dapat RM46,000 setiap episod. Darabkan nilai tersebut dengan 13 episod satu musim jumlahnya memang menggiurkan - hampir setengah juta!

Namun itu cerita yang enak-enak sahaja, belum ambil kira keadaan industri animasi tempatan sekarang ini. Pada masa ini banyak syarikat animasi yang melangut kerana tidak ada projek dari stesen TV. Tidak kurang juga yang gulung tikar setelah berpanjangan tidak ada projek. Syarikat yang masih hidup pula terancam apabila ada syarikat-syarikat yang bukan berteraskan animasi turut masuk membida projek dan menang.

Eh, bagaimana pula syarikat-syarikat bukan berteraskan animasi tiba-tiba boleh hasilkan animasi pula? Antaranya kecanggihan teknologi membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan tool animasi berkuasa tinggi. Software terkini membolehkan seorang animator membuat kerja seluruh jabatan. 

Lebih simple lagi, asalkan ada duit mereka boleh beli sahaja kepakaran dan kapasiti penghasilan animasi. Mereka boleh menggajikan animator tempatan atau outsource sahaja ke luar negara. Saya sendiri pun berpartner dengan syarikat animasi bebas tempatan bagi projek ini.

Dari segi business model, tidak masuk akal sebenarnya pitching kepada stesen TV tempatan. Jika berjaya dipilih, syarikat animasi hanya menjadi seperti kontraktor semata-mata. Segala hak terhadap harta intelek (jenama, watak, dsbnya) dimiliki oleh stesen TV. Bandingkan pula dengan studio-studio gergasi animasi - mereka semua memegang harta intelek sebagai aset utama. Lihat bagaimana Marvel dilihat cukup bernilai untuk dibeli oleh Disney kerana harta intelek yang banyak dan meluas.

Satu lagi aset penting adalah audiens, iaitu mereka yang menonton dan membeli. Jika sudah ada audiens, mereka akan terus mengikuti kita tidak kira saluran apa yang digunakan. Sekiranya jual siri animasi ke TV maka kita bergantung harap kepada audiens milik mereka. Selalu terjadi siri animasi tempatan akhirnya diletakkan pada slot yang tidak ramai penonton pun.


Business Model yang kami cuba ini memang renyah kerana tidak ada jaminan pulangan yang besar dan perlu mencari audiens sendiri. Tetapi, modal yang dikeluarkan pun tidak banyak dan kami sebagai designer/animator/komposer/musician dapat menambah projek yang menarik dalam portfolio!

Alhamdulillah, kami sudah dapat menghasilkan preview animasi dan semakin hampir menghasilkan produk pertama.  Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Mengapa Tidak Mohon Geran?


Bila sebut sahaja hendak buat projek animasi, antara soalan popular adalah "Mohon geran tak?"

Saya sengaja tidak memohon sebarang geran bagi projek ini:
  1. Saya tidak mahu disibukkan dengan proses memohon geran yang panjang dan berjela-jela.
  2. Tiada sebarang jaminan akan dapat duit, kalau buat sendiri ada juga hasilnya.
  3. Kalau dapat duit pun, bukannya dapat selepuk setengah juta atau sejuta. Macam-macam kerenah birokrasi lagi yang harus dilayan.
  4. Anak cepat membesar, saya tidak ada masa untuk tunggu dapat duit baru hendak buat konten Islamik untuk kegunaan anak sendiri.
  5. Persoalan pokok kejayaan projek animasi adalah mencipta watak dan cerita yang disukai audiens sasaran. Itu boleh dibuat menggunakan duit sendiri dan tidak ada kaitan antara jumlah wang modal dengan watak animasi yang meletup.


Mahu mengikuti perkembangan lanjut projek animasi Meo & Mama? Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube.


Mengapa Memilih Watak Kucing?

Kenapa memilih untuk mencipta watak baru? Mengapa pula kucing yang dipilih untuk diangkat menjadi watak utama? Video yang menampilkan Ustaz Zamri versi animasi sudah ada 7000 view dalam masa 3 bulan, mengapa pula ambil risiko cipta watak baru?

Jawapan kampungan; sebab saya suka kucing. Jawapan sosfikated dan psikologikal; boleh baca selanjutnya di bawah.

Pertama sekali, projek animasi Meo & Mama bukanlah siri pertama yang disasarkan khusus untuk umat Islam. Sudah ada banyak siri-siri lain sebelum ini yang diterbitkan di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Namun apa yang berlaku setiap siri dilihat tidak begitu mampu untuk merentas sempadan komuniti tempat ia dicipta.


Apa yang dapat diperhatikan kebanyakan siri menampilkan karakter manusia sama ada sebagai karakter utama atau sampingan. Hipotesis saya, ini menimbulkan beberapa halangan antaranya warna kulit dan pakaian. Kita tidak usah cerita banyaklah, songkok dalam rumpun Melayu pun sudah cukup berbeza. Songkok Malaysia sekian tinggi dan keras, songkok Johor / Singapura pula lebih tinggi, songkok Indonesia pula tidak keras dan boleh dilipat.

Kanak-kanak memang suci bersih lagi fitrah, mereka tidak kisah warna kulit dan rupa. Isunya ibu bapa yang memilih dan membeli bahan media untuk kanak-kanak. Ibu bapa ini sudah ada persepsi mereka sendiri tentang apa yang cool dan tidak cool. Jadi bagi mengatasi halangan ini, kami memilih untuk tidak menggunakan watak manusia dan memilih untuk menggunakan kucing.



Kucing lebih universal dan memungkinkan untuk siri animasi ini lebih mudah merentas budaya. Kita sudah ada Raihan, Yusuf Islam, Sami Yusuf dan Maher Zain sebagai ikon nasyid yang dikenali secara universal oleh umat Islam tetapi belum ada ikon animasi Islamik. Belum ada satu watak yang dikenali semua kanak-kanak Islam sepertimana mereka mengenali Mickey Mouse sekarang.

Mahu mengikuti perkembangan lanjut projek animasi Meo & Mama? Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube.

Mengapa Saya Memulakan Projek Meo & Mama

Anda mungkin mengenali sebagai penulis, penterjemah, fotografer, konsultan dan sebagainya. Tetapi mengapa pula saya tiba-tiba terjun memulakan projek animasi Meo & Mama?


Jawapannya mudah, bila sudah ada anak sendiri barulah saya sedar betapa kurangnya konten Islamik yang berkualiti untuk kanak-kanak. Lebih-lebih lagi konten berbentuk video dan animasi dalam Bahasa Malaysia.

Apabila saya menerbitkan DVD Mahir Mengaji dengan Ustaz Zamri baru saya sedar betapa jauhnya makhraj yang tepat berbanding dalam video kanak-kanak yang ada. 'Berdarah telinga' mendengar orang kata. Hendak cari video Alif Ba Ta dengan makhraj yang betul pun payah, topik lain tidak usah diperkatakan lagi.

Perkara ini saya bincangkan dengan beberapa orang rakan lain dan mereka pun menghadapi masalah yang serupa. Mereka yang menjadi guru KAFA dan Pendidikan Islam di sekolah juga mengadu kurangnya bahan yang menarik untuk digunakan dalam pengajaran.

Jadi saya berfikir kembali, saya memang kenal animator dan komposer lagu. Apa kata saya ajak mereka sama-sama menghasilkan projek animasi. Saya tidak ada geran MDeC / Cradle / MOF atau pinjaman bank tetapi hanya bermodalkan persahabatan dan sedikit skil multimedia yang asas.


Projek ini sudah bergerak hampir tiga bulan dan akhirnya minggu ini kami dapat memperdengarkan preview lagu pertama dalam siri ini. Animasi pula dijangka akan siap minggu ini dan kami dapat melancarkan produk pertama semasa cuti sekolah pertengahan tahun ini, InsyaAllah.

Kami memerlukan sokongan keluarga, sahabat handai dan rakan taulan bagi memajukan lagi projek ini. Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi menyokong kami dan mendapat update terkini.



Hikayat Bisnes Mengarut Part 3

Satu mitos yang ada dalam kepala usahawan adalah kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant. Ini adalah satu mitos lagi tahyul dan dongeng yang telah memerangkap ramai usahawan yang berhati mulia dan berjiwa besar.

Sebenarnya, tidak akan perkaitan antara tahap syariah-compliant produk dan etika bisnes sesuatu syarikat. Itu sebenarnya adalah atas kebijaksanaan pengusaha syarikat tersebut. Seperti yang kita lihat dalam entri sebelum ini, nama sahaja jual produk Islami tetapi kuat gebang dan kelentong.

Apa yang usahawan tersebut jual, saya malas nak cerita. Ada baiknya kita cerita industri lain yang dekat di hati kita iaitu industri makanan. Lebih spesifik lagi, restoran makanan segera. Saya berpeluang mendapat cerita di sebalik tabir industri ini dan bertemu dua contoh yang ekstrem.

Syarikat A mencanangkan produk yang halal dan toyyiban untuk pasaran umat Melayu Islam Malaysia. Syarikat B pula membawakan produk yang tidak halal untuk pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. (Faham-faham sendirilah burger daging apa yang Syarikat B bawakan)

Kehadiran Syarikat A disambut baik oleh masyarakat yang memang dahagakan produk halal dan toyyiban. Berbondong-bondong orang datang untuk datang makan ke restoran mereka. Para pelabur dan usahawan Muslim yang lain juga naik semangat dan mahu bersama mereka.

Syarikat A pantas menawarkan partnership untuk membuka cawangan. Secara teknikalnya mereka tidak boleh menawarkan francais kerana pada masa itu belum genap tiga tahun beroperasi. Ramai juga yang mengambil tawaran mereka itu atas dasar mahu menyebarkan gaya hidup Islami di samping buat duit yang halal lagi barokah.

Tapi, apa yang berlaku? Para partner yang membuka cawangan ini mendapati mereka tidak mendapat sokongan teknikal dan logistik seperti yang diharapkan. Peralatan dapur yang dibekalkan adalah second-hand, bekalan bahan mentah tidak sampai.

Para pelanggan yang datang kecewa kerana tidak dapat apa yang mereka mahukan. Kekecewaan partner lagilah tinggi kerana mereka telah melaburkan beratus-ratus ribu untuk membuka cawangan. Ada juga yang meminjam dari bank.

Nun di hujung sana, Syarikat B juga mendapat sambutan hangat dari pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. Ramai datang untuk mendapat burger non-halal yang setaraf dengan Jepun, Singapura dan Taiwan. Bertalu-talu pertanyaan datang untuk partnership dan membuka francais.

Namun pemilik Syarikat B menolak untuk segera membuka francais dan partnership. Beliau sendiri terlebih dahulu membuka beberapa cawangan bagi menguji sistem dan logistik. Lebih penting lagi, beliau mahu memastikan bahawa bisnes ini betul-betul buat untung. Ini kerana franchisee membeli pelaburan dan bagi beliau adalah tidak beretika menjual pelaburan yang belum pasti keuntungannya.

Ini cerita sepanjang 5 tahun lepas. Sekarang apa sudah jadi dengan kedua-dua syarikat ini?

Banyak cawangan Syarikat A sudah tutup, tidak tahulah tinggal berapa sahaja. Syarikat B pula berkembang slow and steady.

Memang sangat frust melihat Syarikat A tersungkur, tapi kalau etika bisnes tak terjaga bagaimana bisnes hendak berkembang? Trust is currency - kepercayaan adalah matawang. Kalau itu tidak dipegang, bisnes yang 'super halal' jual kambing minum air zamzam makan kurma nabi pun boleh lingkup.

Bukan tidak ada syarikat yang produk dan etika bisnesnya kedua-duanya syariah-compliant. Banyak sebenarnya. Apa yang perlu diingat di sini adalah anggapan kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant itu adalah satu mitos.

Itu adalah kebijaksanaan dan pilihan tuan punya bisnes.



Hikayat Bisnes Mengarut Part 2

Kalau hendak diikutkan, memang malas mahu menulis tentang bisnes-bisnes mengarut ni. Namun seperti yang saya tulis sebelum ini, adalah satu tanggungjawab untuk saya berkongsi tentang perkara-perkara karut yang basic-basic ini supaya mereka yang baru berbisnes tidak terperangkap.

Kes yang seterusnya mungkin adalah kes yang paling mengarut saya jumpa setakat ini apabila seorang marketer cuba kelentong salah seorang business partner saya. Kononnya mahu joint venture jual produk. Punyalah mengarut sampai saya gelak guling-guling sahaja bila mengendalikan kes ini. Buka sahaja website dia dah tahu dia ni memang mengarut. Tak perlu korek banyak-banyak pun sudah ada banyak point untuk bantai dia semula.

Walaupun dia menjual produk Islami (sebut sahaja XYZ-i), tetapi saya memang tak bagi muka. Berikut adalah sedutan daripada emel saya untuk menolak tawaran kerjasama dari marketer tersebut
  1. Kredibiliti saudara juga sangat meragukan. Dakwaan berunsur hype di laman web XYZ-i sangat mencurigakan
    1. Bagaimana boleh hebat gerila marketing dengan hanya baca buku Jay Conrad? Saya belajar Business Model Canvas dengan penulis buku Business Model Generation siap dapat sijil Masterclass tiada pun mengaku pakar itu ini.
    2. Susun tak sampai sepuluh buku dah mengaku sudah menjadi pakar bisnes. Apa barang? Saya translate buku Rich Dad Poor Dad dan Sun Tzu Art of Business tu, dah hadam betul tahu kiri kanan depan belakang. Tiada pun dakwa-dakwi macam tu. Di blog peribadi saya firdausariff.com percuma lagi gratis sahaja saya translate buku yang saya dah baca kongsikan jadi nota dengan orang ramai.
    3. Anak murid Dr. Azizan Osman? Tolonglah, bersepah berpuluh ribu lagi orang mengaku anak murid dia. Kenapa harus beriya-iya jual nama dia? Gambar betul-betul sebelah dia pun tak ada. 
    4. Jalan-jalan tengok market luar negara? Itu perkara normal, tiada ada pun yang istimewanya.
    5. Jualan terkumpul berpuluh ribu unit? Boleh sahaja jualan banyak tu tiada untung pun sebenarnya!
Ini sebenarnya adalah trik-trik marketer murahan yang sangat biasa. Buang masa sahaja hendak tulis perkara picisan seperti ini tetapi kalau tidak tulis ramai pula yang tertipu dengan perkara sebegini.

p/s: Mungkin ada 2-3 lagi perkara-perkara basic tentang bisnes mengarut yang hendak saya tulis. Dan seperti biasa, tengoklah mood saya macam mana. Cerita benda mengarut memang sangat meletihkan!


Mengapa Saya Menulis Hikayat Bisnes Mengarut?


Sebenarnya dan sejujurnya, kerja buat bising dan komplen adalah perkara yang paling malas saya hendak buat. Pada kebanyakan masa, ini bukanlah kerja yang paling produktif yang boleh saya buat. Bukannya komplen itu tidak mengubah apa-apa tetapi selalunya perubahan itu tidak membina apa-apa.
Lagi pun, agenda kita akan berkisar pada komplen itu dan bukan apa yang kita mahu capai.

Kalau hendak diikutkan, saya memang dah bosan dengan dokumentari tempatan tapi saya malas buat bising. Saya buat sahaja Projek Tunas, rakam video dokumentari sendiri.

Konten bisnes dalam Bahasa Melayu memang kurang, saya tidak menyalak pada ITBM dan DBP. Saya terjemah sendiri buku dari luar, permudahkan dan letak di blog ini.

Jadi, mengapa saya tiba-tiba sahaja mahu buka cerita dan buat bising tentang mereka yang menciplak hasil kerja orang lain, para penyangak dan para penipu? Bila difikirkan kembali, saya fikir pengetahuan tentang sisi gelap bisnes ini adalah satu ilmu asas dalam berbisnes. Saya tidak akan menulis banyak tentang perkara ini kerana sangat menyesakkan fikiran tetapi cukup untuk mengenal penyangak murahan yang bersepah dalam pasaran

Kasihan sebenarnya melihat mereka yang baru hendak berbisnes belum apa-apa lagi sudah rugi teruk akibat ditipu. Lebih bahaya lagi, mereka yang memulakan bisnes dengan nasihat dan ilmu yang salah dari 'Master Trainer' yang kelentong.

Ramai yang mula berbisnes dengan modal cukup-cukup untuk satu bisnes sahaja. Keadaan pasaran sudah cukup mencabar untuk mereka menjayakan bisnes dan tidak perlulah mereka harus berhadapan dengan penyangak-penyangak kecil. Lebih baik mereka tahu bagaimana menghidu penyanyak-penyangak kecil ini serta mengelakkan dari mereka, lantas sempat bisnes membesar dan bertapak. Kemudian bergasak dan bersilatlah dengan 'naga-naga' besar dalam pasaran. Barulah berbaloi!

Hikayat Bisnes Mengarut Part 1

Isu harta intelek adalah isu yang dekat di hati saya. Bisnes saya pun banyak bersangkut-paut dengan pengurusan harta intelek.

Selama ini, banyak kes-kes mengarut melibatkan pencurian dan pemerdayaan harta intelek yang berlaku namun saya 'berperang' senyap-senyap sahaja, menyelamatkan pemilik harta intelek yang sempat saya tolong. Mereka yang merana dalam senyap selama ini dibiarkan sahaja atas alasan 'menjaga ukhwah' dalam industri training/penerbitan/muzik/filem tempatan yang ternyata luasanya hanya sekangkang kera.

Namun kes terbaru melibatkan Tuan Pakdi Suzardi M membuatkan saya memutuskan untuk mula memalu gendang perang. Sudah tiba masanya karyawan tulen diangkat dan masyarakat dilindungi daripada para penyangak serta pembelit!

Kes yang berlaku antara Pakdi dengan Coach Bahar adalah konten dalam blog Pakdi diambil bulat-bulat dan diletakkan dalam eBook Coach Bahar. Bukan setakat itu, Coach Bahar pula mengambil untung dengan menjual eBook tersebut. Saya malas mahu mengulas panjang tentang hal ini maka tuan-tuan boleh baca sahaja posting FB Pakdi yang menjadi titik tolak kes ini.




Sebenarnya, sebelum kes ini berlaku saya terjumpa seorang yang mengaku master trainer menciplak lembaran kerja saya dan mengadakan bengkel Business Model Canvas. Bila saya lihat sahaja lembaran kerja beliau memang saya gelak kerana strukturnya masih sama cuma sekadar ditukar contohnya. Sudahlah begitu, guna Business Model Canvas pun tidak ada kredit kepada BusinessModelGeneration.com

Lembaran Kerja Asal

Lembaran Kerja Ciplak Halaman 1

Lembaran Kerja Ciplak Halaman 2
Saya memang kenal sangat siapa gerangannya kerana saya pernah minum teh dengan beliau berkongsi buku Business Model Generation dan beliau menghadiri kelas percuma saya. Pada awalnya saya buat kelas percuma sahajalah kerana saya sekadar belajar Business Model Canvas daripada buku. Kemudian baru saya ke Singapura berguru dengan para penulisnya. Itu pun sampai sana saya jumpa Dr. Yves Pigneur mohon halal atas apa hasil yang telah saya perolehi dari buku beliau. Saya turut menunjukkan lembaran kerja yang telah saya buat kepada beliau.

To'ki saya yang menjadi imam kampung sukarela pun mohon halal dari para penulis buku agama yang beliau buat rujukan. Apatah lagi saya yang memang membina reputasi dan bisnes menggunakan ilmu bisnes yang ditulis oleh orang lain.

Jarak waktu antara kelas percuma dengan insiden saya menjumpai lembaran kerja ciplak itu sekitar 18 bulan. Dalam tempoh itu saya sudah berkali-kali bertukar business model sehingga sekarang ini saya pandang sebelah mata sahaja bisnes training ini. Saya lebih seronok menjadi konsultan dan produser video. 

Sebenarnya, kalau minta izin saya akan emel sahaja fail supaya mudah dicetak. Tidak perlu ubah-ubah atas hasil ciplakan. Malah, pernah ada trainer bertanya soalan supaya mudah untuk dia menerangkan kepada klien pun saya pernah jawab. Apa yang susah sangat nak buka mulut minta izin? Hantar email sahaja sudah cukup.

Boleh sahaja saya terus biarkan perkara ini begitu sahaja tetapi bagaimana pula nasib mereka yang baru hendak terjun dalam dunia training? Apa mungkin saya berdiam diri sahaja melihat mereka yang betul-betul jujur hendak mendidik masyarakat melalui training dianiaya oleh trainer senior yang kononnya 'master trainer' dan berpengalaman luas?

Saya tahu, konten bisnes Bahasa Melayu memang sangat terhad sehingga membuatkan saya terpanggil untuk menterjemah dan berkongsi secara percuma di sini. Namun itu bukan alasan yang 'menghalalkan' mereka yang mengaku 'pakar', 'trainer' dan 'coach' untuk menciplak begitu sahaja.

Mana yang lebih menjaga ukhwah?

  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita terus buat duit dengan cara yang salah?
  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita menindas saudara kita yang lain?
  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita jual kepakaran bertaraf sampah kepada saudara kita yang lain?
p/s: Kalau saya rajin dan ada mood, lain kali saya cerita pula tentang 'pakar industri' yang baru-baru ini cuba kelentong business partner saya.

Gerai Steamboat Yang Berjaya Dengan Tidak Menjual Steamboat

Minggu lepas, saya berkesempatan ke Port Dickson. Oleh kerana sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sana, maka saya buka Foursquare untuk mendapatkan cadangan tempat makan.

Saya tidak begitulah lapar sangat pada malam tersebut, kudapan pun sudah memadai. Lagipun saya malas hendak ke warung atau restoran masakan thai, di mana-mana pun ada. Saya tertarik dengan cadangan dari Foursquare untuk ke Fazlina Steamboat. Memang ada banyak gerai steambot di sepanjang pantai di Port Dickson tetapi hanya gerai ini yang naik di Foursquare.

Dalam perjalanan ke sana, saya menempuhi dua tiga gerai steamboat lain yang terletak di tepi pantai. Bila sampai sahaja di Fazlina Steamboat, saya mula nampak apa yang menyebabkan gerai ini lain dari yang lain.



Sebut sahaja steamboat, kita selalunya akan terbayang bebola ikan, sotong dan kangkung. Tiada apa yang menarik sangat, semua boleh beli di pasar dan supermarket. Kelainan yang selalu diperkatakan pun selalunya berkisar kepada sos.



Fazlina Steamboat mengambil pendekatan berbeza dengan memberi pengalaman unik kepada para pengunjung. Sewaktu peniaga lain masih menjual seperti di pasar malam, mereka memahami bahawa kebanyakan pengunjung adalah mereka yang hendak bersantai dan hendak berkelah. Atas kefahaman itu, mereka membentangkan beberapa tikar di tepi pantai bagi kemudahan pengunjung. Lampu juga dipasang berserta meja rendah dan servis yang cepat bagi memastikan persekitaran yang sentiasa bersih.

Maka, Fazlina Steamboat bukan lagi menjual steamboat tetapi sebenarnya menjual pengalaman berkelah di tepi pantai yang menyenangkan. Tidak perlu bawa makanan, tikar dan meja. Tambah pula ada orang yang melayan dan tidak perlu pening mencari kawasan pantai yang bersih.

Inilah perkara yang sebenarnya menjadi USP gerai steamboat ini dan membawa pelanggan terus-menerus berkunjung.