Mengapa Tidak Mohon Geran?


Bila sebut sahaja hendak buat projek animasi, antara soalan popular adalah "Mohon geran tak?"

Saya sengaja tidak memohon sebarang geran bagi projek ini:
  1. Saya tidak mahu disibukkan dengan proses memohon geran yang panjang dan berjela-jela.
  2. Tiada sebarang jaminan akan dapat duit, kalau buat sendiri ada juga hasilnya.
  3. Kalau dapat duit pun, bukannya dapat selepuk setengah juta atau sejuta. Macam-macam kerenah birokrasi lagi yang harus dilayan.
  4. Anak cepat membesar, saya tidak ada masa untuk tunggu dapat duit baru hendak buat konten Islamik untuk kegunaan anak sendiri.
  5. Persoalan pokok kejayaan projek animasi adalah mencipta watak dan cerita yang disukai audiens sasaran. Itu boleh dibuat menggunakan duit sendiri dan tidak ada kaitan antara jumlah wang modal dengan watak animasi yang meletup.


Mahu mengikuti perkembangan lanjut projek animasi Meo & Mama? Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube.


Mengapa Memilih Watak Kucing?

Kenapa memilih untuk mencipta watak baru? Mengapa pula kucing yang dipilih untuk diangkat menjadi watak utama? Video yang menampilkan Ustaz Zamri versi animasi sudah ada 7000 view dalam masa 3 bulan, mengapa pula ambil risiko cipta watak baru?

Jawapan kampungan; sebab saya suka kucing. Jawapan sosfikated dan psikologikal; boleh baca selanjutnya di bawah.

Pertama sekali, projek animasi Meo & Mama bukanlah siri pertama yang disasarkan khusus untuk umat Islam. Sudah ada banyak siri-siri lain sebelum ini yang diterbitkan di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Namun apa yang berlaku setiap siri dilihat tidak begitu mampu untuk merentas sempadan komuniti tempat ia dicipta.


Apa yang dapat diperhatikan kebanyakan siri menampilkan karakter manusia sama ada sebagai karakter utama atau sampingan. Hipotesis saya, ini menimbulkan beberapa halangan antaranya warna kulit dan pakaian. Kita tidak usah cerita banyaklah, songkok dalam rumpun Melayu pun sudah cukup berbeza. Songkok Malaysia sekian tinggi dan keras, songkok Johor / Singapura pula lebih tinggi, songkok Indonesia pula tidak keras dan boleh dilipat.

Kanak-kanak memang suci bersih lagi fitrah, mereka tidak kisah warna kulit dan rupa. Isunya ibu bapa yang memilih dan membeli bahan media untuk kanak-kanak. Ibu bapa ini sudah ada persepsi mereka sendiri tentang apa yang cool dan tidak cool. Jadi bagi mengatasi halangan ini, kami memilih untuk tidak menggunakan watak manusia dan memilih untuk menggunakan kucing.



Kucing lebih universal dan memungkinkan untuk siri animasi ini lebih mudah merentas budaya. Kita sudah ada Raihan, Yusuf Islam, Sami Yusuf dan Maher Zain sebagai ikon nasyid yang dikenali secara universal oleh umat Islam tetapi belum ada ikon animasi Islamik. Belum ada satu watak yang dikenali semua kanak-kanak Islam sepertimana mereka mengenali Mickey Mouse sekarang.

Mahu mengikuti perkembangan lanjut projek animasi Meo & Mama? Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube.

Mengapa Saya Memulakan Projek Meo & Mama

Anda mungkin mengenali sebagai penulis, penterjemah, fotografer, konsultan dan sebagainya. Tetapi mengapa pula saya tiba-tiba terjun memulakan projek animasi Meo & Mama?


Jawapannya mudah, bila sudah ada anak sendiri barulah saya sedar betapa kurangnya konten Islamik yang berkualiti untuk kanak-kanak. Lebih-lebih lagi konten berbentuk video dan animasi dalam Bahasa Malaysia.

Apabila saya menerbitkan DVD Mahir Mengaji dengan Ustaz Zamri baru saya sedar betapa jauhnya makhraj yang tepat berbanding dalam video kanak-kanak yang ada. 'Berdarah telinga' mendengar orang kata. Hendak cari video Alif Ba Ta dengan makhraj yang betul pun payah, topik lain tidak usah diperkatakan lagi.

Perkara ini saya bincangkan dengan beberapa orang rakan lain dan mereka pun menghadapi masalah yang serupa. Mereka yang menjadi guru KAFA dan Pendidikan Islam di sekolah juga mengadu kurangnya bahan yang menarik untuk digunakan dalam pengajaran.

Jadi saya berfikir kembali, saya memang kenal animator dan komposer lagu. Apa kata saya ajak mereka sama-sama menghasilkan projek animasi. Saya tidak ada geran MDeC / Cradle / MOF atau pinjaman bank tetapi hanya bermodalkan persahabatan dan sedikit skil multimedia yang asas.


Projek ini sudah bergerak hampir tiga bulan dan akhirnya minggu ini kami dapat memperdengarkan preview lagu pertama dalam siri ini. Animasi pula dijangka akan siap minggu ini dan kami dapat melancarkan produk pertama semasa cuti sekolah pertengahan tahun ini, InsyaAllah.

Kami memerlukan sokongan keluarga, sahabat handai dan rakan taulan bagi memajukan lagi projek ini. Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi menyokong kami dan mendapat update terkini.