Hikayat Bisnes Mengarut Part 3

Satu mitos yang ada dalam kepala usahawan adalah kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant. Ini adalah satu mitos lagi tahyul dan dongeng yang telah memerangkap ramai usahawan yang berhati mulia dan berjiwa besar.

Sebenarnya, tidak akan perkaitan antara tahap syariah-compliant produk dan etika bisnes sesuatu syarikat. Itu sebenarnya adalah atas kebijaksanaan pengusaha syarikat tersebut. Seperti yang kita lihat dalam entri sebelum ini, nama sahaja jual produk Islami tetapi kuat gebang dan kelentong.

Apa yang usahawan tersebut jual, saya malas nak cerita. Ada baiknya kita cerita industri lain yang dekat di hati kita iaitu industri makanan. Lebih spesifik lagi, restoran makanan segera. Saya berpeluang mendapat cerita di sebalik tabir industri ini dan bertemu dua contoh yang ekstrem.

Syarikat A mencanangkan produk yang halal dan toyyiban untuk pasaran umat Melayu Islam Malaysia. Syarikat B pula membawakan produk yang tidak halal untuk pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. (Faham-faham sendirilah burger daging apa yang Syarikat B bawakan)

Kehadiran Syarikat A disambut baik oleh masyarakat yang memang dahagakan produk halal dan toyyiban. Berbondong-bondong orang datang untuk datang makan ke restoran mereka. Para pelabur dan usahawan Muslim yang lain juga naik semangat dan mahu bersama mereka.

Syarikat A pantas menawarkan partnership untuk membuka cawangan. Secara teknikalnya mereka tidak boleh menawarkan francais kerana pada masa itu belum genap tiga tahun beroperasi. Ramai juga yang mengambil tawaran mereka itu atas dasar mahu menyebarkan gaya hidup Islami di samping buat duit yang halal lagi barokah.

Tapi, apa yang berlaku? Para partner yang membuka cawangan ini mendapati mereka tidak mendapat sokongan teknikal dan logistik seperti yang diharapkan. Peralatan dapur yang dibekalkan adalah second-hand, bekalan bahan mentah tidak sampai.

Para pelanggan yang datang kecewa kerana tidak dapat apa yang mereka mahukan. Kekecewaan partner lagilah tinggi kerana mereka telah melaburkan beratus-ratus ribu untuk membuka cawangan. Ada juga yang meminjam dari bank.

Nun di hujung sana, Syarikat B juga mendapat sambutan hangat dari pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. Ramai datang untuk mendapat burger non-halal yang setaraf dengan Jepun, Singapura dan Taiwan. Bertalu-talu pertanyaan datang untuk partnership dan membuka francais.

Namun pemilik Syarikat B menolak untuk segera membuka francais dan partnership. Beliau sendiri terlebih dahulu membuka beberapa cawangan bagi menguji sistem dan logistik. Lebih penting lagi, beliau mahu memastikan bahawa bisnes ini betul-betul buat untung. Ini kerana franchisee membeli pelaburan dan bagi beliau adalah tidak beretika menjual pelaburan yang belum pasti keuntungannya.

Ini cerita sepanjang 5 tahun lepas. Sekarang apa sudah jadi dengan kedua-dua syarikat ini?

Banyak cawangan Syarikat A sudah tutup, tidak tahulah tinggal berapa sahaja. Syarikat B pula berkembang slow and steady.

Memang sangat frust melihat Syarikat A tersungkur, tapi kalau etika bisnes tak terjaga bagaimana bisnes hendak berkembang? Trust is currency - kepercayaan adalah matawang. Kalau itu tidak dipegang, bisnes yang 'super halal' jual kambing minum air zamzam makan kurma nabi pun boleh lingkup.

Bukan tidak ada syarikat yang produk dan etika bisnesnya kedua-duanya syariah-compliant. Banyak sebenarnya. Apa yang perlu diingat di sini adalah anggapan kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant itu adalah satu mitos.

Itu adalah kebijaksanaan dan pilihan tuan punya bisnes.



Hikayat Bisnes Mengarut Part 2

Kalau hendak diikutkan, memang malas mahu menulis tentang bisnes-bisnes mengarut ni. Namun seperti yang saya tulis sebelum ini, adalah satu tanggungjawab untuk saya berkongsi tentang perkara-perkara karut yang basic-basic ini supaya mereka yang baru berbisnes tidak terperangkap.

Kes yang seterusnya mungkin adalah kes yang paling mengarut saya jumpa setakat ini apabila seorang marketer cuba kelentong salah seorang business partner saya. Kononnya mahu joint venture jual produk. Punyalah mengarut sampai saya gelak guling-guling sahaja bila mengendalikan kes ini. Buka sahaja website dia dah tahu dia ni memang mengarut. Tak perlu korek banyak-banyak pun sudah ada banyak point untuk bantai dia semula.

Walaupun dia menjual produk Islami (sebut sahaja XYZ-i), tetapi saya memang tak bagi muka. Berikut adalah sedutan daripada emel saya untuk menolak tawaran kerjasama dari marketer tersebut
  1. Kredibiliti saudara juga sangat meragukan. Dakwaan berunsur hype di laman web XYZ-i sangat mencurigakan
    1. Bagaimana boleh hebat gerila marketing dengan hanya baca buku Jay Conrad? Saya belajar Business Model Canvas dengan penulis buku Business Model Generation siap dapat sijil Masterclass tiada pun mengaku pakar itu ini.
    2. Susun tak sampai sepuluh buku dah mengaku sudah menjadi pakar bisnes. Apa barang? Saya translate buku Rich Dad Poor Dad dan Sun Tzu Art of Business tu, dah hadam betul tahu kiri kanan depan belakang. Tiada pun dakwa-dakwi macam tu. Di blog peribadi saya firdausariff.com percuma lagi gratis sahaja saya translate buku yang saya dah baca kongsikan jadi nota dengan orang ramai.
    3. Anak murid Dr. Azizan Osman? Tolonglah, bersepah berpuluh ribu lagi orang mengaku anak murid dia. Kenapa harus beriya-iya jual nama dia? Gambar betul-betul sebelah dia pun tak ada. 
    4. Jalan-jalan tengok market luar negara? Itu perkara normal, tiada ada pun yang istimewanya.
    5. Jualan terkumpul berpuluh ribu unit? Boleh sahaja jualan banyak tu tiada untung pun sebenarnya!
Ini sebenarnya adalah trik-trik marketer murahan yang sangat biasa. Buang masa sahaja hendak tulis perkara picisan seperti ini tetapi kalau tidak tulis ramai pula yang tertipu dengan perkara sebegini.

p/s: Mungkin ada 2-3 lagi perkara-perkara basic tentang bisnes mengarut yang hendak saya tulis. Dan seperti biasa, tengoklah mood saya macam mana. Cerita benda mengarut memang sangat meletihkan!


Mengapa Saya Menulis Hikayat Bisnes Mengarut?


Sebenarnya dan sejujurnya, kerja buat bising dan komplen adalah perkara yang paling malas saya hendak buat. Pada kebanyakan masa, ini bukanlah kerja yang paling produktif yang boleh saya buat. Bukannya komplen itu tidak mengubah apa-apa tetapi selalunya perubahan itu tidak membina apa-apa.
Lagi pun, agenda kita akan berkisar pada komplen itu dan bukan apa yang kita mahu capai.

Kalau hendak diikutkan, saya memang dah bosan dengan dokumentari tempatan tapi saya malas buat bising. Saya buat sahaja Projek Tunas, rakam video dokumentari sendiri.

Konten bisnes dalam Bahasa Melayu memang kurang, saya tidak menyalak pada ITBM dan DBP. Saya terjemah sendiri buku dari luar, permudahkan dan letak di blog ini.

Jadi, mengapa saya tiba-tiba sahaja mahu buka cerita dan buat bising tentang mereka yang menciplak hasil kerja orang lain, para penyangak dan para penipu? Bila difikirkan kembali, saya fikir pengetahuan tentang sisi gelap bisnes ini adalah satu ilmu asas dalam berbisnes. Saya tidak akan menulis banyak tentang perkara ini kerana sangat menyesakkan fikiran tetapi cukup untuk mengenal penyangak murahan yang bersepah dalam pasaran

Kasihan sebenarnya melihat mereka yang baru hendak berbisnes belum apa-apa lagi sudah rugi teruk akibat ditipu. Lebih bahaya lagi, mereka yang memulakan bisnes dengan nasihat dan ilmu yang salah dari 'Master Trainer' yang kelentong.

Ramai yang mula berbisnes dengan modal cukup-cukup untuk satu bisnes sahaja. Keadaan pasaran sudah cukup mencabar untuk mereka menjayakan bisnes dan tidak perlulah mereka harus berhadapan dengan penyangak-penyangak kecil. Lebih baik mereka tahu bagaimana menghidu penyanyak-penyangak kecil ini serta mengelakkan dari mereka, lantas sempat bisnes membesar dan bertapak. Kemudian bergasak dan bersilatlah dengan 'naga-naga' besar dalam pasaran. Barulah berbaloi!

Hikayat Bisnes Mengarut Part 1

Isu harta intelek adalah isu yang dekat di hati saya. Bisnes saya pun banyak bersangkut-paut dengan pengurusan harta intelek.

Selama ini, banyak kes-kes mengarut melibatkan pencurian dan pemerdayaan harta intelek yang berlaku namun saya 'berperang' senyap-senyap sahaja, menyelamatkan pemilik harta intelek yang sempat saya tolong. Mereka yang merana dalam senyap selama ini dibiarkan sahaja atas alasan 'menjaga ukhwah' dalam industri training/penerbitan/muzik/filem tempatan yang ternyata luasanya hanya sekangkang kera.

Namun kes terbaru melibatkan Tuan Pakdi Suzardi M membuatkan saya memutuskan untuk mula memalu gendang perang. Sudah tiba masanya karyawan tulen diangkat dan masyarakat dilindungi daripada para penyangak serta pembelit!

Kes yang berlaku antara Pakdi dengan Coach Bahar adalah konten dalam blog Pakdi diambil bulat-bulat dan diletakkan dalam eBook Coach Bahar. Bukan setakat itu, Coach Bahar pula mengambil untung dengan menjual eBook tersebut. Saya malas mahu mengulas panjang tentang hal ini maka tuan-tuan boleh baca sahaja posting FB Pakdi yang menjadi titik tolak kes ini.




Sebenarnya, sebelum kes ini berlaku saya terjumpa seorang yang mengaku master trainer menciplak lembaran kerja saya dan mengadakan bengkel Business Model Canvas. Bila saya lihat sahaja lembaran kerja beliau memang saya gelak kerana strukturnya masih sama cuma sekadar ditukar contohnya. Sudahlah begitu, guna Business Model Canvas pun tidak ada kredit kepada BusinessModelGeneration.com

Lembaran Kerja Asal

Lembaran Kerja Ciplak Halaman 1

Lembaran Kerja Ciplak Halaman 2
Saya memang kenal sangat siapa gerangannya kerana saya pernah minum teh dengan beliau berkongsi buku Business Model Generation dan beliau menghadiri kelas percuma saya. Pada awalnya saya buat kelas percuma sahajalah kerana saya sekadar belajar Business Model Canvas daripada buku. Kemudian baru saya ke Singapura berguru dengan para penulisnya. Itu pun sampai sana saya jumpa Dr. Yves Pigneur mohon halal atas apa hasil yang telah saya perolehi dari buku beliau. Saya turut menunjukkan lembaran kerja yang telah saya buat kepada beliau.

To'ki saya yang menjadi imam kampung sukarela pun mohon halal dari para penulis buku agama yang beliau buat rujukan. Apatah lagi saya yang memang membina reputasi dan bisnes menggunakan ilmu bisnes yang ditulis oleh orang lain.

Jarak waktu antara kelas percuma dengan insiden saya menjumpai lembaran kerja ciplak itu sekitar 18 bulan. Dalam tempoh itu saya sudah berkali-kali bertukar business model sehingga sekarang ini saya pandang sebelah mata sahaja bisnes training ini. Saya lebih seronok menjadi konsultan dan produser video. 

Sebenarnya, kalau minta izin saya akan emel sahaja fail supaya mudah dicetak. Tidak perlu ubah-ubah atas hasil ciplakan. Malah, pernah ada trainer bertanya soalan supaya mudah untuk dia menerangkan kepada klien pun saya pernah jawab. Apa yang susah sangat nak buka mulut minta izin? Hantar email sahaja sudah cukup.

Boleh sahaja saya terus biarkan perkara ini begitu sahaja tetapi bagaimana pula nasib mereka yang baru hendak terjun dalam dunia training? Apa mungkin saya berdiam diri sahaja melihat mereka yang betul-betul jujur hendak mendidik masyarakat melalui training dianiaya oleh trainer senior yang kononnya 'master trainer' dan berpengalaman luas?

Saya tahu, konten bisnes Bahasa Melayu memang sangat terhad sehingga membuatkan saya terpanggil untuk menterjemah dan berkongsi secara percuma di sini. Namun itu bukan alasan yang 'menghalalkan' mereka yang mengaku 'pakar', 'trainer' dan 'coach' untuk menciplak begitu sahaja.

Mana yang lebih menjaga ukhwah?

  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita terus buat duit dengan cara yang salah?
  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita menindas saudara kita yang lain?
  • Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita jual kepakaran bertaraf sampah kepada saudara kita yang lain?
p/s: Kalau saya rajin dan ada mood, lain kali saya cerita pula tentang 'pakar industri' yang baru-baru ini cuba kelentong business partner saya.