The Law of the Few: Maven

Selepas Connectors, jenis individu kedua dalam the Law of the Few adalah Maven. Maven merujuk kepada individu-individu yang mempunyai pengetahuan yang banyak dalam sesuatu bidang. Bukan setakat banyak, malah mereka juga obses dengan bidang yang mereka sukai. Sekiranya orang lain hanya baca 2-3 buku, mereka akan baca 10 buah buku. Dalam konteks masyarakat Asia, perkataan yang hampir serupa adalah otaku (Bahasa Jepun).


Maven berpengaruh kerana mereka menjadi pakar rujuk dalam sesuatu bidang. Sebagai contoh, maven kereta menjadi rujukan apabila rakan-rakan hendak membeli kereta. Ada juga maven restoran dan buku. Dalam erti kata lain, maven mempunyai kuasa mengesyorkan kepada komuniti. Virus idea yang disebarkan oleh Maven lebih kuat berbanding individu biasa.

Sama seperti Connector, Maven bertindak atas inisiatif sendiri dan tidak dapat dibeli atau digaji. Pengaruh Maven datang dari obsesinya yang tulen terhadap sesuatu bidang.

InsyaAllah, minggu hadapan kita akan bersambung dengan topik Salesmen sebelum meneruskan kepada Stickiness & Power of Context. Akhir sekali adalah Tipping Point Leadership. Sekiranya tuan-tuan mahu mendapat sambungan entri ini pada hari-hari berikut secara terus ke inbox, langgan blog ini melalui kotak di bawah:


Masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

The Law of the Few: Connectors

Kebanyakan dari kita mempunyai jairngan sosial yang tipikal - jiran-jiran, keluarga, rakan sekerja dan rakan-rakan sekolah serta universiti. Kita cenderung mempunyai rakan-rakan yang mempunyai pekerjaan yang lebih kurang sama, latar belakang yang sama dan bertutur bahasa yang sama.


Oleh itu, kita selalu mengalami kesukaran apabila terpaksa pergi ke tempat lain atau melakukan kerja dalam bidang yang lain. Kita tidak mempunyai kenalan yang dapat memberi panduan kepad kita.

Tetapi tidak bagi Connectors, mereka mempunyai jaringan sosial yang luas dan suka untuk berhubung dengan orang-orang baru. Mereka tidak takut untuk keluar dari zon selesa mereka.

Peranan Connectors dalam penyebaran sesebuah epidemik adalah menghubungkan dari satu komuniti ke komuniti lain. Penyebaran sesuatu 'virus' tidak akan mencapai tipping point sekiranya tidak dapat melompat ke komuniti lain. Connectors juga memungkinkan sesuatu virus pergi dari tempat yang sudah tepu ke tempat yang lebih kondusif.

Connectors yang baik dikenali ramai orang dan maklumat yang dibawanya dapat dipercayai. Inilah yang memungkinkan sesuatu idea menjadi viral dan tersebar luas.

Sebagai contoh, seorang jurutera mempunyai inovasi terbaru yang dapat membantu para doktor. Namun, oleh kerana jurutera itu hanya kenal sesama jurutera dan mungkin satu dua orang IT dia tidak dapat mencari orang yang dapat menguji inovasinya. Sehinggalah datang seorang saintis yang kenal para jurutera dan juga doktor. Saintis itu yang memungkinkan jurutera itu berjumpa dengan doktor yang sanggup menguji inovasinya.

Apabila inovasi itu terbukti berjaya barulah berita tentangnya tersebar di kalangan doktor-doktor. Selepas itu barulah mereka menjadi pengguna inovasi tersebut.

InsyaAllah, esok kita akan melihat apa itu Maven sebelum bersambung dengan Salesmen pada minggu hadapan. Sekiranya tuan-tuan mahu mendapat sambungan entri ini pada hari-hari berikut secara terus ke inbox, langgan blog ini melalui kotak di bawah:


Masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

The Law of the Few

Dalam sebuah epidemik, tidak semestinya semua individu yang dijangkiti itu menjangkitkan kepada orang lain pada kadar yang serupa. Begitu juga dengan maklumat, bukan semua orang menyampaikan maklumat dengan kadar yang sama. Ada yang emel sahaja, ada yang letak di wall Facebook, SMS dan sebagainya. Ada juga orang yang langsung tidak menyampaikan atau menjangkitkan kepada orang lain.


Dalam erti kata lain, bukan semua individu bertindakbalas dengan serupa dalam sesuatu epidemik. Selalunya hanya beberapa orang individu tertentu yang bertanggungjawab atas majoriti jangkitan. Ini disebuti sebagai Pareto Rule di mana 20 peratus orang menyebabkan 80 peratus jangkitan.

Dalam Tipping Point, individu-individu ini diletakkan di bawah The Law of the Few dan mereka terbahagi kepada tiga iaitu; Connectors, Maven & Salesmen. Mereka bertiga mempunyai peranan berbeza dalam menyebarkan epidemik virus idea.


Kita akan sama-sama mengikuti ciri-ciri ketiga-tiga jenis individu ini dalam entri-entri akan datang. Sekiranya tuan-tuan mahu mendapat sambungan entri ini pada hari-hari berikut secara terus ke inbox, langgan blog ini melalui kotak di bawah:


Masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

Apa Signifikannya Tipping Point?

Jadi kita telah lihat secara kasar apa itu Tipping Point. Namun, apa pentingnya kita memahami Tipping Point?



Kita mahu memahami bagaimana sesuatu perkara merebak dengan pantas dari titik-titik kecil kepada kawasan yang luas. Kita mahu tahu bagaimana mengawalnya dan menghentikannya.

Virus - tidak kira biologikal atau ideologikal merebak secara eksponen dan bukannya linear. Rantainya bukan dari satu individu ke individu lain tetapi dari satu individu ke ramai individu lalu terus ke beberapa individu lain. Proses ini akan berulang sehingga seluruh populasi dijangkiti.


Namun, jangkitan secara eksponen ini tidak berlaku secara automatik. Penyebaran pada skala luas hanya berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu. Tipping Point menerangkan perkara tersebut dan itulah yang kita akan jelajahi dalam siri tulisan ini.

Sekiranya mahu mendapat sambungannya pada hari-hari berikut secara terus ke inbox anda, langgan blog ini melalui kotak di bawah:


Masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

The Tipping Point

Buku The Tipping Point tulisan Malcolm Gladwell menerangkan fenomena 'tipping point' iaitu keadaan di mana sesuatu 'virus' tiba-tiba sahaja merebak dan menguasai sesebuah komuniti.

Di awal 'jangkitan', penyebaran berlaku dengan sangat sukar dan perlahan - seperti menolak bola batu menaiki bukit.


Tetapi apabila sudah tiba di puncak, sangat mudah untuk menggolekkan bola batu tersebut menuruni bukit. Graviti menarik bola batu tersebut dan kelajuannya meningkat berkali-kali ganda. Keadaan seperti puncak bukit itulah yang kita sebut 'tipping point'.

Dalam bukunya, Malcolm Gladwell menerangkan bagaimana berlakunya 'tipping point' yang menyebabkan kadar jenayah di New York turun dengan mendadak. Beliau juga turut menerangkan tentang epidemik kes bunuh diri di Micronesia.

Secara umum, buku Tipping Point terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu The Law of the Few, Stickiness Factor & Power of Context. Di bawah Law of the Few pula terdapat tiga lagi pecahan iaitu Connectors, Mavens dan Salesmen.


Sepanjang minggu ini kita akan sama-sama menjelajahi konsep-konsep dalam Tipping Point, InsyaAllah. Sekiranya mahu mendapat sambungannya secara terus ke inbox anda, langgan blog ini melalui kotak di bawah:


Masukkan emel tuan:


Dikuasakan oleh FeedBurner

Buku Minggu Ini: Tipping Point

Minggu ini, saya akan menelaah buku Tipping Point tulisan Malcolm Gladwell. Saya sudah habis baca satu kali namun harus membacanya sekali lagi bagi memantapkan kerangka Tipping Point Leadership. Saya percaya hasil kajian Tim Hadith Psikologi membawa teknik-teknik praktikal menjalankan Tipping Point Leadership dan kami ( saya dan Pn. Ainon) sudah nampak bentuk kasarnya. Sekarang tiba masanya memperhalusi kerangka pemikiran tersebut.

Value Proposition: Karipap

Sebelum ini kita telah lihat value proposition yang berbeza dalam perkhidmatan fotografi. Kali ini kita lihat bagaimana satu produk yang ringkas seperti karipap mempunyai pelbagai value proposition.


Value proposition paling tipikal adalah seorang yang pandai membuat karipap menghasilkan sendiri produk dan menjualnya sendiri di gerai tepi jalan. Penjual tersebut mungkin bersaing dengan ramai lagi penjual kuih di sepanjang jalan yang sama. 



Namun sekiranya karipapnya ditukar menjadi saiz gergasi, maka value propositionnya akan berubah. Karipap bukan lagi snek tetapi menjadi hidangan yang mengenyangkan. Sekarang produknya sudah berada dalam kategori yang sama dengan burger.

Pilihan lain adalah dia boleh menghasilkan karipap dan meletakannya untuk jualan di kedai-kedai lain. Melalui cara ini dia tidak perlu berada di gerai sepanjang hari dan dapat meluaskan kawasan jualan. Cuma mungkin keuntungannya bagi setiap unit karipap akan berkurangan. Beliau juga akan terdedah kepada kerugian sekiranya karipap yang dihasilkan tidak habis. Jika di gerai, beliau boleh menggoreng mengikut keperluan.

Cara lain lagi, karipap tersebut boleh disejukbekukan dan dibekalkan ke pasaraya. Produk dapat bertahan lebih lama dan dapat mencapai pelanggan yang berpendapatan lebih tinggi. Risikonya adalah pembayaran yang lambat dari pihak pasaraya.

Satu lagi cara, karipap boleh dihasilkan dalam versi mini dengan inti yang kering. Karipap dalam bentuk ini telah menjadi kuih dan sesuai dipasarkan semasa musim perayaan. Tempoh hayatnya juga lebih lama dan boleh dihantar melalui pos.

Memikirkan value proposition akan membolehkan peniaga keluar dari perangkap idea lama yang tidak produktif dan mencapai keuntungan yang lebih.

Marketing Baru vs Marketing Lama

Dalam buku Permission Marketing, Seth Godin menyebut tentang apa yang dipanggil Interruption Marketing & Permission Marketing. Interruption marketing adalah marketing gaya lama yang bergantung kepada media massa bagi menyebar luas dan 'menghentak' mesej penjenamaan serta promosi kepada orang ramai. Gaya ini dipanggil interrpution marketing kerana banyak bergantung kepada iklan-iklan yang menyelit apabila orang ramai menikmati kehidupan seharian. Tidak kiralah sama ada melalui televisyen, radio, papan tanda dan sebagainya.


Kaedah interruption marketing adalah komunikasi satu hala di mana pengguna tidak dapat memilih bagaimana dan bila mesej dihantar kepada mereka. Pihak penjual pula mahu mesej mereka sampai ke seramai mungkin orang dan sekerap mungkin. Hal ini berlaku kerana mass production menjadikan kos pengeluaran sesuatu objek semakin murah apabila semakin banyak dihasilkan.


Mengikut mazhab permission marketing pula, proses jualan adalah satu dialog antara penjual dan pelanggan. Bakal pembeli harus memberi keizinan terlebih dahulu sebelum dialog berlangsung. Melalui dialog ini, pelanggan dapat mengetahui lebih lanjut tentang produk dan juga mempunyai peranan dalam penghasilan sesuatu produk. Mesej yang disampaikan oleh penjual adalah relevan dan dijangka oleh pelanggan.

Kaedah marketing ini semakin relevan sekarang apabila means of production (kaedah pengeluaran) sudah lebih demokratik dan membolehkan produk dihasilkan dengan kuantiti yang lebih sedikit. Ini membolehkan penjual memberi respon kepada kehendak pelanggan dengan lebih tangkas.

Value Proposition

Semalam saya menghadiri majlis daftar rai adik saya sebagai peguam bertauliah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam ramai-ramai orang di situ, kami menyedari ada sekelompok wartawan dan jurugambar. Kami mengandaikan mereka adalah wartawan hiburan, 'muka Melodi' kata adik saya.

Adik saya bertanya, mengapa jurugambar berita menggunakan kamera yang mahal tetapi hasilnya tidak secantik mana? Jawab saya mudah sahaja, apa yang penting bagi jurugambar berita adalah untuk mendapatkan gambar tokoh atau peristiwa yang dikehendaki. Apa yang penting adalah dapat, soal cantik itu nombor dua. (Ted Adnan bilang, direct flash pun boleh~!)

Kamera yang mahal (baca: canggih) dapat beroperasi dengan lebih pantas dan menjejak subjek secara automatik walaupun dalam suasana pencahayaan yang sukar. Ini meningkatkan peluang jurugambar tersebut mendapatkan gambar yang dikehendaki.

Berbeza dengan jurugambar perkahwinan yang sebenarnya sudah menjurus kepada fotografi fesyen. Penggambaran tidak terlalu pantas dan jurugambar masih boleh memberi arahan kepada pengantin. Banyak perkara boleh diatur oleh jurugambar. Soal cantik adalah nombor satu dan fotografer bebas menggunakan Photoshop bagi mendandan imej yang dirakam. Sebaliknya, Photoshop adalah 'haram' bagi jurugambar berita.


Di sini kita dapat lihat bagaimana pekerjaan yang sama mempunyai value proposition yang berbeza bagi bidang dan klien yang berbeza walaupun menggunakan alat yang sama. Kegagalan memahami value proposition menyebabkan kita tidak memberi hasil yang dikehendaki dan seterusnya menyebabkan kehilangan bisnes.

Kisah Bisnes Pasar Gombak

Seminggu lepas, saya ternampak artikel akhbar mengatakan bisnes di Pasar Gombak terjejas teruk akibat penutupan cawangan Maybank di sana. Tempat tersebut merupakan tempat yang saya kunjungi sejak kecil jadi saya agak ambil berat akan perkembangan di pasar itu.

Semalam seperti biasa saya sekeluarga pergi ke sana untuk sarapan hujung minggu. Ternyata banyak gerai-gerai ditutup, terutamanya yang di sekitar bank. Namun apabila naik ke bahagian gerai makan di atas, bisnes tampaknya tetap rancak dan meriah dengan pelanggan.

Keluarga saya sudah mengenali para peniaga di situ agak lama dan di situ sudah menjadi seperti sebahagian kampung sendiri. Saya bertanya kepada salah seorang pemilik gerai bagaimana keadaan bisnes setelah penutupan Maybank? Katanya bisnes gerai makan tidak terjejas dan jumlah pelanggan masih seperti biasa.




Mi bandung yang sedap di Pasar Gombak - sedap sehingga tinggal kuah sahaja!

Mengapa ada gerai yang terjejas dan ada gerai yang selamat? Gerai-gerai di hadapan bank menjual buku-buku, tudung dan makanan kering seperti kurma dan kismis. Gerai-gerai tersebut memang bergantung kepada orang berbelanja menggunakan 'duit lebih' selepas mengeluarkan wang dari bank.

Gerai-gerai makan pula mempunyai pelanggan tetap tersendiri dan mereka akan tetap datang untuk makan. Malah boleh dikatakan balik-balik muka itu juga yang makan di situ.

Peristiwa ini memberi satu pengalaman bagaimana pelanggan yang datang tidak semestinya datang atas sebab produk dan perkhidmatan kita sendiri. Adakah kita mempunyai pelanggan tetap sendiri?

- Posted using BlogPress from my iPad

Buku Minggu Ini - Permission Marketing

Bacaan saya minggu ini adalah Permission Marketing oleh Seth Godin. Buku ini disebut sebagai 'kitab utama' pemasaran dalam Era Internet. Paling utama, beliau memecahkan mitos yang memandang internet sebagai media massa seperti TV. Sebenarnya, Internet adalah medium bagi membolehkan interaksi langsung dengan pelanggan - tidak jauh bezanya dengan kedai runcit kawasan kejiranan.



Buku ini memang radikal dan jauh berbeza dengan buku pemasaran internet serta tradisional yang lain. Sekiranya anda mencari-cari petunjuk untuk bermula dalam bidang pemasaran, dapatkan buku ini. Juga terdapat dalam edisi Bahasa Melayu keluaran PTS.

- Posted using BlogPress from my iPad

Lain Model Bisnes, Lain Ragamnya

Menyambung analogi sebelum ini iaitu model bisnes sebagai enjin, kita sedia maklum terdapat pelbagai jenis enjin. Ada enjin motosikal, kereta, pesawat dan janakuasa. Setiap satunya memerlukan bahan bakar berbeza dan menghasilkan kuasa yang berbeza.

Begitu juga dengan model bisnes - ada model yang memerlukan modal yang besar, ada juga yang boleh bermula dengan serendah RM100. Ada yang memerlukan premis dan ada juga yang boleh dibuat dari rumah. Model bisnes perlu disesuaikan dengan keupayaan peniaga - jangan seseorang yang hanya mampu mengendalikan kapcai mahu mengendalikan kereta F1 pula!


Sebagai contoh, turbin janakuasa juga adalah sejenis enjin. Turbin sangat efisien bagi menghasilkan output yang konsisten tetapi memerlukan bahan bakar khas seperti gas asli. Harganya sangat mahal dan memerlukan sepasukan jurutera untuk mengendalikannya. Turbin juga perlu dipasang dalam bangunan yang direka khas dan tidak boleh dialihkan dengan mudah.

Model bisnes yang seperti turbin ini boleh jadi seperti ladang kelapa sawit. Modal yang diperlukan agak besar kerana harus membeli tanah, menanam pokok dan menunggu beberapa tahun sebelum hasil boleh dituai. Namun selepas itu pemiliknya akan mendapat hasil yang konsisten setiap bulan.


Berbeza pula dengan enjin F1 yang direka untuk memberikan prestasi tertinggi. Enjinnya ringan dan sangat kompleks serta memerlukan petrol berkualiti tinggi dalam jumlah yang besar. Banyak tenaga dari bahan bakar habis sebagai bunyi dan kereta F1 memerlukan trek khusus untuk beroperasi. Krew F1 beroperasi sangat pantas dan disokong oleh satu batalion jurutera serta krew logistik yang besar.

Model bisnes Air Asia boleh dikatakan ala F1. Sistem operasi bisnes mereka sangat kompleks dan krew pesawat mereka bergerak pantas untuk memastikan pesawat boleh terbang semula secepat mungkin. Mereka juga memerlukan sokongan sistem IT yang sosfikated dan kempen pemasaran serta penjenamaan yang intensif. Hasilnya, mereka membuat keuntungan dengan sangat laju!

Apa Itu Model Bisnes

Model bisnes adalah definisi bagaimana sesebuah organisasi mengumpul, mencipta dan menyalurkan nilai. Nilai tesebut boleh jadi nilai ekonomi, nilai sosial atau lain-lain. Model bisnes adalah kerangka bagaimana sesebuah organisasi menukar sumber yang ada kepada sesuatu yang lebih bernilai.

Analogi yang mudah adalah membayangkan sebuah enjin. Secara asasnya enjin menukar bahan bakar kepada pergerakan. Namun bukan semua bahan bakar itu bertukar menjadi pergerakan kerana hilang dalam bentuk haba, geseran dan bunyi.


Bisnes pula menukar modal/sumber menjadi nilai/keuntungan, tetapi ada modal yang habis sebagai kos menjalankan perniagaan. Kos boleh jadi kos pengeluaran, sewa, pengedaran, gaji dan sebagainya.


Enjin yang bagus adalah yang dapat menukarkan sebanyak mungkin bahan bakar menjadi pergerakan dan tidak terbuang dalam bentuk lain. Berapa peratus bahan bakar bertukar menjadi pergerakan? Lebih tinggi peratusnya, lebih tinggi tahap efisiennya. Begitu juga dengan bisnes, kita mahu bisnes yang efisien yang dapat menukar modal menjadi keuntungan!

Tiga Perkara Menarik Dari The Corporate Blogging Book

1. Global Microbrand

Jenama global mikro - bunyinya seperti satu istilah yang 'melawan' diri sendiri. Sebenarnya istilah ini merujuk di mana kedai-kedai dan syarikat-syarikat kecil boleh mendapat pendedahan global melalui blog. Buku ini memberi contoh J.D. Iles yang mengendalikan syarikat papan tanda di New Hampshire, US. Beliau menulis blog pada setiap pagi menunjukkan karya-karya terbaru dan barang-barang baru. Blog tersebut membolehkan sesiapa sahaja dari seluruh dunia melihat hasil kerja beliau, menjadi peminat beliau lalu membuat tempahan.



2. Thought Leadership

Blog juga dapat menjadi medium untuk seseorang menjadi pemimpin pemikiran dalam sesuatu bidang. Seth Godin adalah contoh terbaik bagi kategori ini. Rekabentuk blognya yang polos sangat berbeza dengan blog 'buat duit' yang lain. Sebaliknya beliau fokus kepada pembinaan reputasi melalui tulisannya. Itu yang

Bagi konteks tempatan pula, blog Pn. Ainon Mohd adalah satu contoh blog tought leadership bagi industri yang spesifik.

3. Blog 'hobi' juga dapat menarik pelanggan

Sebagai menyokong laman web utama syarikat, blog 'hobi' atau minat peribadi juga dapat menjadi satu tarikan tersendiri. Sebagai contoh, John Nardini adalah Timbalan Presiden syarikat Denali Flavors yang menghasilkan pelbagai bahan perisa untuk industri tenusu. Blog korporat tentang perisa aiskrim dan industri tenusu gagal tetapi sebaliknya blog tentang kewangan peribadi yang berjaya.

Walaupun terang-terang mengatakan beliau bukanlah seorang perunding kewangan yang bertauliah, blog tersebut tetap berpengaruh dan pernah disebut dalam Wall Street Journal. Trafik ke laman utama juga meningkat 25 peratus hasil link daripada blog tersebut.

Kesimpulannya, apa yang penting adalah penulis blog itu harus mempunyai hubungan dengan audiens. Blog korporat bukanlah dibuat untuk menjadi 'cool' tetapi untuk berhubung dan membina pengaruh.

Reputasi vs Popular

Ramai yang menyangka apabila seseorang semakin popular maka beliau akan lebih terkenal lantas akan lebih banyak mendapat bisnes (dan semakin kaya). Pada pandangan orang biasa, semakin kerap seseorang artis atau motivator itu muncul di kaca televisyen dan corong radio maka beliau semakin terkenal dan mendapat banyak undangan.

Sebenarnya, terdapat satu sisi lagi yang sama tetapi tidak seruapa iaitu reputasi. Reputasi menjadikan seseorang itu terkenal juga kerana namanya akan disebut. Bezanya terkenal melalui reputasi terkait dengan prestasi, bukannya terkenal kerana popular semata-mata.

Ambil contoh penyanyi - popular bermakna dia dikenali ramai orang dan peminat. Namun belum tentu dia terkenal kerana lagunya atau kerana skandalnya. Belum tentu lagi beliau akan diberikan kontrak rakaman atau diundang menyanyi di konserti-konsert.

Keupayaan vokal dan disiplin pula akan menentukan reputasinya. Tahap reputasi itu yang menentukan sama ada komposer unggul akan memberikan lagu hit padanya serta diajak berduet oleh artis yang lebih terkenal. Itu yang akan membawa pulangan kewangan yang lebih lumayan.

Pendek kata; popular belum tentu bawa duit masuk, reputasi lebih penting.

Bacaan Minggu Ini

Kebiasaannya, buku tentang blog fokus kepada aspek teknikal atau buat duit semata-mata. Maka, memang sangat menarik apabila ada buku yang fokus kepada blog korporat. Setakat ini saya sudah habis membaca Bab 1 dan ternyata isinya jauh berbeza dengan buku-buku blog yang lain. Susunannya juga menarik. Buku ini bermula dengan 20 Soalan Tentang Blog Korporat, sesuatu yang biasanya diletakkan di belakang.


Terima kasih kepada Tuan Ahmad Shakir dari Synergy Training & Consulting kerana sudi meminjamkan buku ini.

- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Bandar Baru Bangi,Malaysia

Link Minggu Ini

Ikuti sedutan buku Lean Startup tulisan Eric Ries di Co.Design


Download edisi pertama majalah revolusioner - Wired melalui iPad App.

 _________________________________________________________________________________

Tingkatkan produktiviti di tempat kerja dengan mengikuti Bengkel Teknik Kaunseling Nabi Muhammad

Buku Asas Bisnes

Bisnes adalah satu bidang yang luas mencakupi pelbagai topik seperti perakaunan, perkhidmatan pelanggan, inovasi, pemasaran dan lain-lain. Ini menyebabkan ramai yang baru hendak bermula terlepas pandang banyak perkara.

Jadi, buku apa yang sesuai untuk memulakan pembacaan tentang bisnes? Setakat ini, buku Seni Bisnes Terhebat Tao Zhugong adalah yang paling ampuh. Lebih-lebih lagi kerana konteks budayanya tidak jauh daripada situasi tempatan.







Buku ini sebenarnya membawakan prinsip-prinsip perniagaan yang dibawa turun-temurun dalam masyarakat Cina. Khazanah nan kaya ini kemudiannya diolah oleh Xu Hui dan Mint Kang dalam bentuk komik.

Pendekatan ini membantu menghidupkan prinsip-prinsip tersebut melalui watak Tao Zhugong serta keluarga dan rakan-rakannya. Lebih cantik lagi, prinsip-prinsip Tao Zhugong dibawa melalui bab-bab yang dihubungjalin seperti episod-episod drama.














Sungguhpun berasal dari era silam, prinsip-prinsip Tao Zhugong telah meliputi urus tadbir korporat yang baik melalui salah satu Piawaian Emas beliau iaitu 'Patuhi Peraturan Syarikat'. Itu adalah sesuatu yang mendahului zaman kerana pada era feudal di Cina siapa yang berharta itu berkuasa membuat apa sahaja. Mematuhi peraturan syarikat sendiri sudah dianggap sebagai satu etika yang tinggi.

Bukan itu sahaja, beliau juga sudah menyebut tentang memasarkan produk dengan berani dan inovatif. Sesuatu yang terbilang aneh pada era di mana barangan adalah komoditi semata-mata dan kuasa yang selalunya menentukan kekayaan seseorang.






Buku ini turut memberi peringatan tentang kesilapan-kesilapan asas dalam perniagaan seperti memandang rendah kepada pelanggan. Dalam salah satu bab buku ini, staf Tao Zhugong hampir-hampir menyebabkan kedai mereka terlepas jualan yang banyak kerana tidak memberi perhatian yang sepatutnya kepada pengunjung kedai. Mujur sentuhan insani Tao Zhuugong menyelamatkan keadaan.

Dalam kecelaruan era cepat kaya, buku ini nyata menerangi dengan hikmah zaman berzaman. Penyampaian yang mudah namun sarat dengan pengajaran menjadikan buku ini sesuai sebagi pemula kembara bisnes.

_________________________________________________________________________________

Tingkatkan produktiviti di tempat kerja dengan mengikuti Bengkel Teknik Kaunseling Nabi Muhammad

- Posted using BlogPress from my iPad

Definisi Bisnes

Definisi bisnes klasik (kapitalis) adalah aktiviti untuk mencapai keuntungan. Sebaiknya keuntungan yang dicapai adalah keuntungan maksimum.

Definisi generasi baru pula adalah aktiviti buat duit dengan menyelesaikan masalah. Idea ini dapat dilihat dalam buku-buku mutakhir seperti The Lean Startup tulisan Eric Ries.


Bagi tujuan perbincangan di blog ini pula, bisnes adalah aktiviti di mana seseorang memperolehi pendapatan melalui kepercayaan orang lain bagi menghasilkan sesuatu barang atau melaksanakan sesuatu perkhidmatan. Dalam erti kata lain, bisnes adalah memperolehi pendapatan dengan melaksanakan amanah orang ramai.