Mengapa Saya Menulis Hikayat Bisnes Mengarut?


Sebenarnya dan sejujurnya, kerja buat bising dan komplen adalah perkara yang paling malas saya hendak buat. Pada kebanyakan masa, ini bukanlah kerja yang paling produktif yang boleh saya buat. Bukannya komplen itu tidak mengubah apa-apa tetapi selalunya perubahan itu tidak membina apa-apa.
Lagi pun, agenda kita akan berkisar pada komplen itu dan bukan apa yang kita mahu capai.

Kalau hendak diikutkan, saya memang dah bosan dengan dokumentari tempatan tapi saya malas buat bising. Saya buat sahaja Projek Tunas, rakam video dokumentari sendiri.

Konten bisnes dalam Bahasa Melayu memang kurang, saya tidak menyalak pada ITBM dan DBP. Saya terjemah sendiri buku dari luar, permudahkan dan letak di blog ini.

Jadi, mengapa saya tiba-tiba sahaja mahu buka cerita dan buat bising tentang mereka yang menciplak hasil kerja orang lain, para penyangak dan para penipu? Bila difikirkan kembali, saya fikir pengetahuan tentang sisi gelap bisnes ini adalah satu ilmu asas dalam berbisnes. Saya tidak akan menulis banyak tentang perkara ini kerana sangat menyesakkan fikiran tetapi cukup untuk mengenal penyangak murahan yang bersepah dalam pasaran

Kasihan sebenarnya melihat mereka yang baru hendak berbisnes belum apa-apa lagi sudah rugi teruk akibat ditipu. Lebih bahaya lagi, mereka yang memulakan bisnes dengan nasihat dan ilmu yang salah dari 'Master Trainer' yang kelentong.

Ramai yang mula berbisnes dengan modal cukup-cukup untuk satu bisnes sahaja. Keadaan pasaran sudah cukup mencabar untuk mereka menjayakan bisnes dan tidak perlulah mereka harus berhadapan dengan penyangak-penyangak kecil. Lebih baik mereka tahu bagaimana menghidu penyanyak-penyangak kecil ini serta mengelakkan dari mereka, lantas sempat bisnes membesar dan bertapak. Kemudian bergasak dan bersilatlah dengan 'naga-naga' besar dalam pasaran. Barulah berbaloi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan