Eksploitasi Emosi & Coca Cola

Kita tahu tentang senjata fizikal yang digunakan oleh Zionis Israel, kita juga tahu tentang senjata-senjata ekonomi yang mereka ada. Tapi tahukah kita tentang senjata psikologi mereka? Segala iklan dan kempen yang digunakan bagi menyokong aktiviti haram mereka?

Apa pentingnya kita tahu tentang senjata psikologi? Pertama, kita harus faham apa yang digunakan ke atas kita sebelum melawan kembali. Supaya kita berjuang dengan ilmu dan bukannya membuta tuli. Kedua, senjata psikologi iklan dan kempen marketing boleh kita buat sendiri tanpa belanja yang besar dalam masa yang singkat. Bukannya seperti membina senjata canggih atau membina empayar korporat.

Kali ini ini kita hendak cerita tentang eksploitasi emosi yang dilakukan Coca-Cola.

Eh cop, ada yang kata Coca-Cola tidak pun menyumbang kepada Israel?

Boikot tak berkesan?

Cuba fikir balik, adakah Coca-Cola itu berkhasiat? Isinya hanyalah kafein, gula yang banyak, gas dan air. Oh ya, juga entah bermacam lagi jenis bahan kimia. Bagaimana kita boleh ketagih dengan benda yang tidak ada faedah ini? Ketagih air gula - kan bodoh bunyinya! Kalau pun anda tidak peduli dengan orang yang jauh, cuba fikir tentang kesihatan diri sendiri.

Coca-Cola Hijack Ramadhan

Kempen marketing Coca-Cola mengeksploitasi emosi kita untuk ketagih pada perkara yang tidak berkhasiat. Iklan terbaru mereka bukan sahaja hijack Ramadhan malah hijack sunnah Rasulullah s.a.w.

Matlamat ulung mana-mana kempen marketing adalah membina habit pengguna untuk konsisten membeli sesuatu produk. Ada banyak strategi dan taktik yang digunakan bagi membina habit ini. Antaranya menggunakan selebriti, tajaan acara sukan, dan product placement dalam televisyen serta filem.


Bagi tujuan perbincangan kali ini kita lihat iklan video Coca-Cola yang terbaru sempena Ramadhan. Mari kita bedah bagaimana iklan ini hijack Ramadhan bagi membina habit pengguna. Kita akan menilai iklan ini melalui kerangka STEPPS yang dicipta oleh Jonah Berger dalam buku beliau Contagious.

Dalam Contagious, beliau menerangkan faktor-faktor yang menjadikan sesuatu perkara menjadi viral. Faktor tersebut bukan sahaja relevan kepada video YouTube dan protes, malah turut relevan kepada design produk serta servis.

6 Faktor viral: STEPPS

S – Social Currency
T – Triggers
E – Emotions
P – Public
P – Practical Value
S – Stories

Produk yang viral tidak semestinya mempunyai kesemua komponen dalam STEPPS tetapi lebih banyak lebih bagus. Seperti ABC, tetap menjadi sekiranya hanya ada ais dan sirap. Namun jika ditambah jagung, kacang dan jeli tentu lebih sedap.

Social Currency

Jenama Coca-Cola sudah mempunyai status yang tinggi. Sudah bertahun-tahun lamanya mereka meminjam dan membeli status daripada entiti-entiti lain. Antaranya dengan menggunakan selebriti bagi menjual produk mereka. Mereka juga tegar menaja acara-acara bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Jadi dalam bab ini mereka sudah ada berjuta-juta social currency.

Emotions


Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan konotasi emosi tersendiri. Banyak memori manis zaman kanak-kanak kita terpaut pada bulan ini. Tambah pula Ramadhan banyak menyaksikan kita balik kampung dan berbuka puasa bersama kaum keluarga. Tok, Nenek, sepupu-sepapat, pakcik makcik semuanya ada. Kalau tidak balik kampung pun, bulan Ramadhan kita berkumpul dan berbuka bersama rakan-rakan.



Bulan puasa juga dikaitkan dengan banyak juadah dan minuman-minuman isitimewa. Dalam iklan ini mereka menunjukkan ikan bakar, murtabak dan pulut panggang. Oleh itu, Coca-Cola juga mahu menyelit menjadi hidangan istimewa. Mereka mahu duduk di atas meja hidangan sewaktu kerana kononnya mereka juga istimewa.




Cuba bayangkan kalau di waktu panas tengahari tiba-tiba ada orang berikan orang kita air. Tentu kita akan ingat orang tersebut kerana waktu itu kita lebih emosional berbanding rasional. Air kosong biasa pun akan terasa sangat sedap. Memori emosional juga lebih kuat berbanding memori rasional.

Waktu berbuka pula adalah antara waktu yang jauh lebih emosional berbanding dahaga biasa. Iyalah, kita sudah seharian menahan lapar dan dahaga. Duduk pula bersama kaum keluarga atau rakan-rakan. Itu semua membina keadaan emosi yang akan menjadikan apa sahaja perkara pertama masuk mulut kita menjadi lebih sedap dan melekat di minda.

Triggers

Komponen ini adalah kunci bagi iklan Coca-Cola sempena Ramadhan. Selama ini memang sudah banyak iklan mereka yang mencipta habit dahaga = minum Coca-Cola. Kali ini mereka naik setingkat lagi dengan memilih trigger yang lebih berkuasa berbanding dahaga biasa iaitu lapar dan dahaga seharian berpuasa. Kita juga maklum bahawa trigger ini juga mempunyai konotasi emosi yang sangat kuat.



Iklan ini mahu habit ini terbentuk dalam minda pengguna - buka puasa = minum Coca-Cola.



Tidak cukup dengan itu, iklan ini juga menafikan habit umat Islam yang sedia ada. Dalam video ini langsung tiada kurma. Kemudian bila berbuka puasa sahaja terus minum Coca-Cola, tidak makan buah pun terlebih dahulu.



Iklan terbaru mereka bukan sahaja hijack Ramadhan malah hijack sunnah Rasulullah s.a.w.

Budaya kita dieksploitasi.

Agama kita dieksploitasi.

Nabi kita dinyahkan.

Emosi kita dieksploitasi.

Adakah anda masih mahu ketagih minum air gula bergas dan berkafein ini?

1 ulasan:

  1. Bila aku minum coca-cola ketika dahaga;
    pssstt shhhhhh......
    glug glug glug.....
    arrrrghhh!!!! pedih la bangkai!!..

    BalasPadam