Buang Peraturan Ini: Digalakkan Memohon Biasiswa


Semasa di sekolah, ramai guru yang menyarankan untuk mengambil biasiswa itu dan ini. Katanya biasiswa tersebut menjamin untuk masuk ke universiti yang hebat dan seterusnya kerja yang terjamin. Namun, itu cerita sekiranya semua berjalan lancar.

Syukurlah ada seorang guru yang bercerita tentang risiko biasisiwa. Beliau mengingatkan bahawa kebanyakan biasiswa sebenarnya bernilai antara RM500 ribu hingga setengah juta. Sekiranya gagal dalam pengajian, anda sudah mempunyai hutang senilai sebuah rumah sebelum mempunyai sebarang pekerjaan!

Seperkara lagi, gaji yang nampaknya besar semasa tamat SPM mungkin tidak lagi bernilai apabila sudah tamat universiti. Gaji graduan masih sekitar RM2000-RM3000 sejak lepas SPM sehingga sekarang. Saya menduduki SPM pada tahun 2003 dan kini sudah tahun 2013. Sudahlah gajinya tidak naik, inflasi pula sudah meningkat dan mengecilkan lagi nilai gaji tersebut. Belum lagi opportunity cost kerana anda terikat dengan penaja biasiswa anda.

Pendek kata. biasiswa adalah perangkap!

Usahawan juga ramai yang terlepas pandang perangkap ini dalam bisnes. Mereka ghairah membuat pinjaman perniagaan dan percaya bulat-bulat tentang unjuran keuntungan yang dibuat dalam kertas kerja. Tidak kiralah unjuran dibuat sendiri atau 'pakar pinjaman'.

Belum pun menjual satu unit produk, mereka sudah mencari pihak untuk membuat pinjaman. Mereka fikir produk mereka gerenti boleh jual. Walhal, unjuran jualan hanyalah andaian semata-mata dan apa yang pasti adalah anda perlu membayar setiap bulan kepada bank!

Buang Peraturan Ini: Semua Mesti Ikut Buku Teks Yang Sama!


Di sekolah, kita semua harus mengikut buku teks yang sama. Hanya jawapan dari buku teks yang diterima walaupun ada buku lain yang lebih tepat dan terkini. Ini menyebabkan kebanyakan pelajar hanya membaca buku teks. Itu pun hanya bahagian yang masuk dalam peperiksaan!

Sikap ini sangat bahaya apabila terbawa-bawa ke dalam dunia bisnes. Mereka percaya hanya ada satu cara untuk buat bisnes. Mesti ikut kursus Mara, ambil pinjaman, buat produk, iklan di akhbar dan memasarkannya di ekspo-ekspo anjuran agensi kerajaan. Padahal banyak perkara dalam 'buku teks' keusahawanan 'rasmi' sudah tidak relevan dan ada yang berbahaya.

Usahawan perlu terbuka bahawa ada banyak kaedah membina bisnes yang berjaya. Baca buku dan majalah bagi mendapat maklumat tentang perkembangan dunia bisnes. Jika tidak sempat, bayar mereka yang banyak membaca untuk memberi input kepada anda. Lebih penting lagi, luangkan masa untuk bereksperimen dengan kaedah-kaedah baru bisnes.

Buang Peraturan Ini: Hanya Ada Satu Jawapan Paling Tepat



Mungkin perkara yang paling payah untuk dibuang daripada kepala kita setelah begitu lama bersekolah adalah kepercayaan bahawa hanya ada satu jawapan paling tepat. Berikan jawapan yang paling tepat atau anda akan dihukum. Siapa yang banyak memberikan jawapan yang paling tepat akan mendapat A.

Jawapan yang kononnya paling tepat itu hanya semata-mata mengikut skema jawapan. Tidak ada makna dan tidak dalam konteks yang sesuai. Semua orang harus memberikan jawapan yang sama. Mungkin sebab itu ramai yang mudah termakan janji MLM dan skim bukan-bukan yang membawa dakwa-dakwi semua boleh jadi kaya dengan jalan yang sama!

Masuk dunia bisnes, tiada jawapan yang paling tepat yang sama untuk semua orang. Tidak ada satu pelan perniagaan yang dapat menjadikan semua orang kaya. Jalan mencapai kejayaan adalah pelbagai dan mungkin bertentangan dengan satu sama lain. Ada syarikat yang berjaya dengan memperuntukkan 50% peratus bajet kepada iklan dan ada syarikat lain yang lebih berjaya tanpa sebarang bajet iklan!

Baca lebih banyak tentang peraturan-peraturan mengarut yang perlu dibuang dari minda anda di sini.


Buang Peraturan Ini: Jangan Buat Tugasan Tambahan


Saya teringat satu peristiwa semasa di sekolah menengah. Guru Kemahiran Hidup berdiri di hadapan kelas dan memberi taklimat tentang projek pertukangan yang perlu disiapkan menjelang akhir tahun. Projek yang kami perlu siapkan adalah sebuah raket ping pong.

Peralatan di sekolah tidaklah begitu canggih, maka pelajar hanya diminta menghasilkan raket yang berbentuk petak dengan bucu yang sedikit bulat. Walhal, raket ping pong mempunyai muka yang berbentuk bulat. Kami terima sahaja arahan tersebut, mudah sedikit kerja kami.

Kemudian, guru bercerita tentang senior kami yang menghasilkan raket ping pong yang mempunyai muka yang betul-betul bulat. Saya menyangka guru akan memuji beliau kerana mengambil usaha yang lebih dengan peralatan yang terhad. Ternyata kami hanya separuh betul, kerana selepas memuji guru menegah kami mencontohi usaha beliau. Katanya hasil beliau tidak mendapat A kerana tidak memenuhi spesifikasi.

Terpana saya, adakah sekolah hanya menghasilkan pekerja kilang dan bukannya pemilik kilang?

Doktrin sebeginilah yang kita perlu buang jauh-jauh apabila kita berbisnes. Kemahiran bertukang yang dipelajari dari sekolah itu jangan kita buang tetapi mentaliti sempit itulah yang harus kita buang. Bisnes yang berjaya melakukan sesuatu yang 'remarkable' dan 'go the extra mile'. Pelanggan sanggup membayar lebih atas servis dan produk luar biasa tetapi kita dihukum di sekolah apabila berbuat demikian.

Mahu berbisnes? Buang peraturan ini dari minda anda!

Baca lebih banyak tentang peraturan-peraturan mengarut yang perlu dibuang dari minda anda di sini.

Buang Peraturan Ini: Semua Murid Harus Habiskan Semua Tugasan


Kita semua mungkin pernah didenda kerana tidak menyiapkan tugasan atau kerja rumah. Walaupun siap sembilan tugas tetapi jika ada satu yang tidak siap maka bersedialah untuk didenda. Hukuman boleh jadi ketuk ketampi, berdiri luar kelas, atas kelas atau apa-apa sahaja yang memalukan. Ajaran sebegini menyebabkan kita fikir kita harus buat apa sahaja yang disuruh walaupun kita tidak faham apa kepentingannya. Walhal, dalam dunia bisnes bukan semua perkara perlu kita buat.

Menteri kata ambil pinjaman untuk bisnes, kita jangan main mohon sahaja kalau kita tidak memerlukan. Apa yang bagus untuk orang lain mungkin akan melingkupkan kita. Peniaga senior kata harus mengiklan di TV, radio dan akhbar kita jangan main ikut sahaja. Kita harus faham taktik-taktik tersebut dan pilih mana yang sesuai dengan strategi kita. Jika tidak ada satu pun yang sesuai dengan kita, cipta jalan lain!

Sistem sekolah melayan semua murid secara pukul rata dan standard. Oleh itu, semua murid harus buat tugasan yang sama. Murid yang dapat markah 100 pun buat tugasan yang sama dengan yang dapat markah 30. Dalam bisnes pula, mana mungkin syarikat yang mempunyai pendapatan 30 ribu buat perkara yang sama dengan syarikat yang berpendapatan RM100 juta.

Jika anda berbisnes, buang jauh-jauh peraturan ini. Kita tidak perlu buat semua benda yang orang lain buat.

Buang Peraturan Ini: Semua Murid Harus Datang Pada Waktu Yang Sama



Selain daripada uniform yang serupa, semua murid juga harus datang pada waktu yang sama. Masuk pukul 7.30 pagi, keluar pukul 1 petang. Tidak kiralah sama ada murid tersebut paling optimum belajar waktu pagi, petang atau malam. Peraturan waktu yang sama dibuat supaya memudahkan pengurusan sekolah tetapi mengapa bila sudah keluar sekolah tetap terbawa-bawa ke dalam bisnes?

Adakah nasi lemak wajib dijual pada waktu pagi sebagai sarapan sahaja? Mengapa tidak dijual waktu malam? Begitu juga dengan nasi ayam, mengapa hanya dijual sebagai makanan tengahari? Mengapa tidak dijual dari pagi sampai ke tengah malam?

Kita telah lihat bagaimana restoran mamak menjual makanan yang biasanya dijual waktu pagi sahaja seperti roti canai menjadi makanan sepanjang masa. Rangkaian makanan segera pula terbalik, memulakan perniagaan lebih awal dan menyediakan menu sarapan.

Freelancer pula tidak seharusnya terikat kepada waktu ofis, mereka bebas menyertai pasaran global yang beroperasi 24 jam. Apa yang penting anda pilih sendiri waktu berbisnes mengikut personaliti anda dan pasaran. Jangan main ikut sahaja waktu orang lain berbisnes!

Buang Peraturan Ini: Semua Murid Harus Memakai Uniform Yang Sama


Sebelum saya mula membelasah peraturan ini, sekali lagi diingatkan entri ini bukan anti-sekolah. Apa yang ditentang adalah membawa mindset dari sekolah ke dalam dunia bisnes. Artikel sebelum ini agak kontroversi bila dibaca sekali lalu. Namun, ramai juga yang faham betul apa maksud saya seperti Tuan Hanis Jenalis. Berikut saya selitkan apa respon beliau.

Sara Fyda - Setuju dengan pendapat fyda. Sekolah perlukan peraturan dan disiplin untuk kawal sikap pelajar. Dalam masa yang sama, ada beberapa peraturan yang bukan sekadar mengawal sikap pelajar, malah mengawal cara berfikir. Artikel ini merujuk kepada pembentukan cara fikir di sekolah. yang tidak boleh dibawa atau digunakan apabila melakukan bisnes. 
Sebagai contoh:
Logik Peraturan sekolah mengatakan semua pelajar harus memakai uniform yang sama, di dalam bisnes pula, tidak semua orang boleh lakukan bisnes produk/servis yang sama. Bila kita tengok orang jual budu berjaya, kita pun nak jual budu jugak sedangkan kita tiada asas kemahiran atau kepakaran tersebut. ~^_^
Memang itulah yang hendak saya katakan tentang peraturan ini. Ya, memang mudah apabila anak murid memakai uniform yang sama di sekolah. Guru tahu siapa muridnya dan siapa yang bukan. Hendak bawa rombongan melawat ke mana-mana juga mudah.

Namun, mindset ini sangat membunuh dalam dunia bisnes dari pelbagai aspek. Pertama, seperti yang dikatakan oleh Tuan Hanis Jenalis, wujud kecenderungan untuk meniru apa sahaja bisnses yang nampak berjaya. Orang lain jual goreng pisang, dia mahu jual goreng pisang juga. Orang lain jual nasi ayam, dia jual nasi ayam juga. Padahal dia tidak tahu hujung pangkal bisnes tersebut dan kelebihan orang tersebut.

Sebagai contoh, ada orang mudah menjual burger bakar kerana dia sendiri membekal daging dan pernah ada kedai steak. Orang lain yang terhegeh-hegeh hendak menjual burger bakar tiada kepakaran dan akses kepada bekalan yang sesuai.

Kedua, ini menyebabkan semua orang suka hendak meniru taktik yang sama. Harga sama, pakejing serupa, design serupa, dan pelbagai lagi. Bahkan, nama pun serupa!


Mengapa semua kedai pisang goreng harus mempunyai penampilan serupa? Harga 4 biji RM1, meja kayu berkaki besi, jenis pisang tidak tentu, payung berwarna-warni, dibungkus dalam beg plastik.



Sebenarnya, boleh jual pisang goreng pada harga RM1 sebiji. Syaratnya, pisang tersebut memberi nilai yang lebih kepada pelanggan. Sebagai contoh, pisang goreng Tanjung Bungah di Pulau Pinang digoreng secara double deep fry. Pisangnya adalah jenis pisang raja yang digoreng sebiji penuh tanpa dipotong.

Itu baru aspek harga dan cara memasak. Belum lagi pakejing, branding dan cara jualan. Mengapa tidak pisang goreng dijual dalam kotak seperti Dunkin Donut? Delivery ke pejabat dan rumah juga boleh dibuat.

Buang mentaliti bahawa semua orang perlu mempunyai penampilan yang serupa. Itu sekolah, ini bisnes. Lakukan perubahan yang membawa lebih nilai kepada bisnes dan pelanggan.

Buang Peraturan Ini!

Pelbagai perkara kita belajar sepanjang 11 tahun di sekolah. Namun, bukan semuanya sesuai dibawa ke dunia bisnes. Sekolah mempersiapkan kita untuk menjadi pekerja dan bukannya menjadi usahawan. Sebelum belajar menjadi usahawan, sebenarnya ada banyak perkara yang perlu kita buang terlebih dahulu.

Bayangkan peraturan di sekolah itu sebagai air kopi dan logik bisnes sebagai susu. Jika kita tuangkan susu ke dalam secawan kopi, rasa pahit dan warna hitam kopi masih kuat. Sedangkan kita mahu susu yang putih dan lemak manis tanpa sebarang rasa pahit. Oleh itu, cawan perlu dikosongkan dan disental segala kesan kopi.


Begitu juga dengan logik bisnes, kita perlu buang jauh-jauh peraturan sekolah sebelum memasukkan logik bisnes ke dalam kepala. Jika tidak, pelbagai perkara bahaya boleh berlaku.

Antara bahayanya:
1. Mudah mengikut sifu yang entah apa-apa
2. Mudah terjerat dengan pelbagai penipuan
3. Hilang inisatif dan keyakinan diri
4. Berbelanja yang bukan-bukan
5. Mengambil pinjaman yang tidak perlu

Sekolah kita direka untuk menghasilkan pekerja dan bukannya usahawan. Peraturan-peraturan sekolah menghakis sifat keusahawanan dan membina insan yang tunduk serta patuh untuk menjadi pekerja.

Antara peraturan sekolah yang sangat bahaya kepada logik bisnes adalah:
1. Semua murid harus memakai uniform yang sama
2. Semua murid harus datang pada waktu yang sama
3. Semua murid harus habiskan semua tugasan
4. Jangan buat tugasan tambahan
5. Hanya ada satu jawapan yang paling tepat
6. Semua mesti ikut buku teks yang sama
7. Digalakkan memohon biasiswa (yang sebenarnya pinjaman!)
8. Jangan buat bising
9. Jangan persoalkan guru
10. Ikut cakap pakar motivasi
11. Buat sendiri semua tugasan anda
12. Semua jawapan harus bertulis
13. Mansuhkan waktu seni pada tahun peperiksaan
14. Jangan tukar tempat duduk
15. Jangan lalu sekolah orang lain
16. Ikut semua peraturan
17. Hanya ada satu ukuran kejayaan
18. Tunggu arahan
19. Semua aktiviti mesti melalui persatuan atau sekolah
20. Perlu minta izin ke tandas

Adakah ini bermakna harus buang semua yang telah dipelajari di sekolah? Kemahiran membaca, menulis dan mengira itu tentu sekali harus dikekalkan. Begitu juga dengan ilmu seni, sains, agama dan lain-lain. Apa yang hendak disental dan dibasuh adalah kerangka pemikiran dari sekolah yang akan membantutkan perkembangan seorang usahawan.

Bermula minggu ini, saya akan 'membelasah' satu demi satu peraturan ini. Banyak kesilapan yang telah saya lakukan kerana selama ini tidak betul-betul membasuh minda saya. Anda tidak perlu lakukan kesilapan yang serupa. Jumpa lagi di entri akan datang.