Ucaptama Sheikh Afifudeen al-Jilani



Berikut adalah beberapa isi penting yang sempat dicatat daripada ucaptama Sheikh Afifudeen al-Jilani yang membuka Creativity & The Spiritual Path Edisi ke-6 di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur.

Semua orang mempunyai seni dan keunikan tersendiri di sebalik kelemahan masing-masing. Malah, kelemahan itu juga unik untuk mereka.
Ramai orang terlepas peluang, namun peluang tidak pernah lepas daripada melintasi semua orang. 
Kita semua adalah istimewa dan mempunyai sesuatu yang perlu kita lakukan.
Terdapat lebih daripada 1,200 tafsir al-Quran. Setiap hari ada sahaja permata-permata dan mutiara-mutiara baru yang ditemui. Ini memerlukan kreativiti dan ada ruang untuk semua orang.
'Ulama' suka menggunakan perkataan 'haram' & 'bidaah' bagi memutuskan harapan dan menghalang laluan. Jangan dengar kata-kata mereka yang menghalang anda asalkan apa yang anda lakukan itu membawa kepada keredhaan Allah s.w.t. 
Beliau mengakhiri ucaptama beliau dengan ungkapan berikut.

"Don't let me wander from Your love. If I lost myself let me found myself with You."  

Editor DVD

Katakan kita sudah siap menghasilkan video dan sediakan sarikata, sekarang ini bagaimana pula hendak meletakkan sarikata bersama video dalam DVD? Aplikasi iDVD yang didatangkan bersama Mac tidak mempunyai fungsi ini manakala DVD Studio Pro pula terlalu kompleks untuk digunakan.



Penyelesaian yang ditemui setakat ini adalah Xilisoft DVD Creator. Antaramukanya mudah dan ringkas. Hanya perlu tambahkan fail video dan kemudian pengguna boleh menentukan fail-fail sarikata mana yang berkaitan. Pengguna juga boleh mencipta menu DVD secara mudah terus dalam aplikasi ini. Aplikasi ini juga lebih stabil dan tidak mudah crash berbanding iDVD.

Aplikasi ini lebih murah dibeli di App Store dengan harga sekitar 15USD hingga 20USD berbanding 50USD di laman webnya.

i3: Modal Budaya Dalam Bisnes

Antara perkara yang tidak disebut dalam buku-buku bisnes adalah kepentingan modal budaya. Modal budaya bukan sahaja penting dalam aspek pembangunan dan penciptaan produk malah menjadi teras kepada kepuasan pelanggan. Ikuti video tips daripada Puan Ainon Mohd di i3.

Mahu Menulis Tentang Apa?

Apabila mengendalikan kursus penulisan, antara soalan yang kerap ditanya oleh para peserta adalah, "Saya patut menulis tentang apa?"

Antara jawapan saya adalah, "Lihat sahaja rak buku tuan, topik yang paling banyak itulah yang patut tuan tulis."

Sebagai manusia, kita tidak mampu mencipta sesuatu daripada kosong - dari tiada apa-apa. Bahan utama untuk menghasilkan teks adalah teks yang disimpan dalam kepala kita. Maka, bahan bacaan itulah yang menjadi bahan utama penulisan.

Menulis tentang topik yang kita tidak pernah baca dan alami akan menjadi sangat sukar kerana kita tidak tahu istilah-istilah . Kita juga tidak arif tentang laras bahasa yang harus digunakan.




Sebagai contoh, sangat tidak mungkin seseorang itu dapat menulis tentang undang-undang tanpa pernah membaca buku tentang akta. Juga tidak mungkin menulis tentang Islam tanpa satu mushaf al-Quran.

Namun, memiliki buku sahaja tidak cukup kerana tanpa pemahaman kita tidak dapat mengolah idea. Ada juga masanya kita perlu melalui pengalaman tertentu dan 'memeram' idea-idea tersebut sebelum cukup masak untuk ditulis.

Apa yang pasti, penulisan itu bermula daripada membaca!

- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Jalan Damai 3,Bentong,Malaysia

T-Shaped University

Setelah menulis entri T-Shaped Person minggu lepas, saya terfikir bagaimana kalau definisi tersebut digunakan untuk entiti lain seperti universiti misalnya. Universiti manakah yang menawarkan program pengajian yang 'T-Shaped'?

Contoh paling hampir tentunya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pengajian 'T-Shaped' sangat jelas dalam beberapa fakulti seperti Kulliyyah of Engineering dan Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledged & Human Sciences. Pelajar Kulliyyah of Engineering mengambil subjek-subjek asas yang sama sebelum dapat membuat pengkhususan. Begitu juga bagi pelajar KIRKHS yang perlu mengambil semua subjek asas sains sosial dan ilmu wahyu sebelum membuat pengkhususan.

Kulliyyah of ICT pula mewajibkan para pelajarnya mengambil subjek-subjek dari Kulliyyah of Economics and Management Sciences seperti perakaunan dan pengurusan. Semasa mengambil subjek perakaunan memang terasa payahnya kerana berada jauh di luar bidang tetapi apabila keluar barulah nampak kepentingannya kerana banyak permintaan sistem IT datang dari sektor bisnes. Jika tiada pengetahuan asas perakaunan seperti apa beza invois dan resit memang terngangalah apabila mendengar permintaan klien.

Di IPT-IPT lain 3 kredit ko-kurikulum boleh didapatkan dengan mengambil satu subjek sahaja seperti Gamelan di UTP dan Nasyid atau Kompang di USIM. Namun di UIAM para pelajar perlu mengambil 5-6 subjek bagi mendapatkan 3 mata kredit itu. Ya, setiap subjek hanya mendapat 0.5 hingga 1 kredit subjek sahaja.

Menghabiskan beberapa semester semata-mata untuk mendapat 3 kredit memang menjerihkan (dan mengundang perasaan menyampah) tetapi dalam masa yang sama membolehkan para pelajar mempelajari lebih banyak skil. Ada yang mengambil kombinasi usrah, fotografi dan debat. Ada juga yang mengambil pengurusan keluarga dan pengucapan awam. Ada juga yang menceburkan diri dalam bidang seni ataupun menyertai badan beruniform seperti Wataniah dan Suksis.

Kepelbagaian kemahiran ini membawa kepada menjadi T-Shaped Person dan membolehkan seseorang itu bekerjasama dalam pelbagai keadaan.

Namun lebih penting lagi para pelajar berpeluang mengenali rakan-rakan daripada pelbagai bidang dan tidak terhad kepada muka yang sama dalam kelas dari tahun satu hingga akhir. Kelas-kelas subjek wajib universiti juga menjadi medan pertemuan kerana kelasnya selalu terbuka untuk pelbagai fakulti. Agak normal bagi pelajar UIAM mempunyai rakan di luar bidang seperti pelajar kejuruteraan mempunyai rakan dari fakulti undang-undang, IT, perakaunan dan senibina.

Modal sosial inilah yang sangat berguna apabila bekerja dan berbisnes setelah tamat pengajian.




Editor Sarikata


Dalam proses pembikinan video Jalan-Jalan Cari Pasal, saya mendapati ada keperluan untuk meletakkan sarikata. Namun melakukan 'hard sub' iaitu menulis terus sarikata ke atas video dalam editor video adalah tidak praktikal kerana sukar untuk diedit dan diuruskan. 'Soft Sub' yang diletakkan dalam fail lain (contohnya format .SRT) pula boleh dibuat menggunakan editor teks biasa tetapi sukar untuk dihasilkan kerana perlu meletakkan timecode (kod masa) secara manual.

Bagi mengatasi masalah tersebut, ada aplikasi editor sarikata yang membolehkan pengguna 'sync' video dengan sarikata yang dihasilkan. Salah satu aplikasi yang terbukti berguna adalah Subtitles theEditor untuk Mac yang boleh didownload terus dari Mac AppStore.

Aplikasi ini bukan sahaja sangat membantu dalam penghasilan sarikata baru malah sangat berguna untuk menganjakkan dan 're-sync' timecode apabila panjang video berubah. Aplikasi ini turut membantu dalam proses penterjemahan sarikata di mana penterjemah boleh melihat babak video yang berkaitan serentak dengan teks yang diedit.

Sekiranya tiada bajet, alternatif percuma adalah Subs Factory. Aplikasi ini mempunyai set alatan yang sama cuma kurang kualiti dari segi tahap mesra pengguna dan stabiliti. 

Kaparinyo

Entri di i3 minggu ini adalah tentang lagu Kaparinyo.

Siti Nurhaliza pernah mengundang kontroversi apabila membawa lagu asal Minang ini dalam salah satu album beliau. Entah apa halnya saya tidak pasti, tetapi secara peribadi saya lebih gemar versi kumpulan Dewangga Sakti. (Selain dari versi asal Minang tentunya).


Inspirasi: Aktif atau Pasif?



Semasa program Creativity and the Spirituality Path di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Tuan Saeed Saeed dari akhbar The National, UAE berkongsi tentang inspirasi selama 5 minit.

Beliau bermula dengan menyatakan perbincangan tentang inspirasi adalah selama sejarah penulisan itu sendiri.Namun, inspirasi selalu dianggap sebagai pasif. Kita perlu tunggu ketikanya, tunggu mood datang. Pendek kata, tunggu ilham datang dari langit.

Pengalaman sebagai wartawan mengajar Tuan Saeed bahawa inspirasi dan kreativiti sebenarnya satu perkara yang aktif dan boleh dikawal. Malah, inspirasi boleh menjadi satu habit dan bukannya bagai menunggu hujan menyirami ladang.

Tambahnya, latihan menulis setiap hari itu lebih penting berbanding percikan kreativiti itu sendiri. Lebih banyak karya yang dihasilkan maka lebih banyak inspirasi akan ditemui.

Kesimpulannya, proses kreativiti adalah perlumbaan antara inspirasi dan keraguan. Teruskan berlari dan kita akan sentiasa mendapat inspirasi.

T-Shaped Person

T-Shaped Person? Adakah bermaksud seseorang yang berbentuk T?

(Haha, sorry lame translator joke)

T-Shaped Person sebenarnya lebih merujuk kepada kemahiran seseorang di mana dia mempunyai pengalaman yang mendalam satu-satu bidang tetapi dalam masa yang sama turut mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang lain yang berkaitan. Istilah ini dipopularkan oleh Tim Brown, CEO syarikat IDEO - salah satu firma rekaan dan inovasi terkemuka di Amerika Syarikat.

Sebagai perbandingan, pakar atau specialist biasa disebut sebagai I-Shaped Person di mana kemahiran dan kepakarannya menjurus pada satu bidang sahaja. Cabang T ke kiri dan ke kanan menunjukkan sesorang itu mempunyai kepakaran dan kemahiran lain di luar bidangnya.

Sebagai contoh, kita ambil Saudara Ikhwan Nazri iaitu CEO Amanz.my. Beliau terkenal sebagai seorang yang mempunyai kemahiran tinggi dalam Flash sehingga dapat menjadi tutor dan membuat pelbagai projek hebat. Dalam masa yang sama beliau turut mempunyai kemahiran menulis artikel dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, merakam dan mengedit video, rekaan grafik serta pendedahan dalam bidang dakwah.

Beliau bukanlah wartawan, videografer, dan ustaz tetapi mempunyai kemahiran-kemahiran berkaitan secara asas. Ini membolehkan beliau bekerjasama dengan pelbagai jenis individu dan organisasi serta menghasilkan inovasi-inovasi yang tidak dapat dihasilkan dengan mempunyai satu kepakaran sahaja.

Sebagai contoh Quran untuk PSP memerlukan kepakaran dalam bidang Flash dan pendedahan dalam bidang dakwah. Begitu juga dengan aplikasi web 24434.my yang menjejak tempat-tempat solat.

T-Shaped Person juga mampu bergerak pantas melaksanakan inovasi kerana mempunyai ilmu-ilmu bantu dalam penghasilan dan mempunyai jaringan sosial yang luas.

Nostalgia

Hari Jumaat adalah hari kelahiran saya, maka saya pilih hari ini untuk menulis entri-entri yang mengimbau sejarah peribadi dan juga sejarah tempatan. Pagi ini saya di Temerloh, tidak jauh dari Sungai Pahang. Kebetulan entri saya di blog Enchanted East Coast juga tentang sungai dan jambatan.



Tetapi mengapa pula saya memilih untuk menulis entri-entri 'sejarah' dalam Bahasa Inggeris? Pertama, projek penulisan blog Enchanted East Coast adalah sebenarnya 'kerja rumah' dari Ms. Kong Lan Yinn, guru Bahasa Inggeris saya semasa di SMK Abdul Rahman Talib dahulu. Katanya Pahang yang lama perlukan 'duta' untuk bercakap dengan dunia luar. Pembangunan pesat yang berlaku pantas menghilangkan Pahang dan Kuantan yang lama.

Kedua, saya juga mahu mengekalkan tahap kemahiran penulisan saya dalam Bahasa Inggeris dan terus mempunyai 'duta' dalam dunia Bahasa Inggeris sepertimana blog pertama saya dahulu.



Setakat ini dahulu, saya harus meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur pula

Location:Pantai Timur Hwy,Temerloh,Malaysia

Jalan-Jalan Cari Pasal



Hujung bulan Januari yang lalu, dua rakan saya iaitu Shahir Amin dan Badruddin Ghazali telah berkayuh sejauh 420km dari Kuantan ke Kota Bharu. Saya mengikuti mereka sebagai pemandu kereta sokongan fan juga videografer. Ikuti video di atas bagi merasai kerja gila kami.


Inisiatif i3


Apabila saya melihat bahawa terdapat beberapa video dokumentari dan wawancara dalam koleksi, timbul idea untuk mengumpulkannya secara sistematik. Menyimpannya secara eceran tidak akan membawa banyak manfaat dan saya fikir adalah lebih baik untuk mengajak rakan-rakan bersama dalam satu inisiatif.

i3 adalah projek kepustakaan video dalam bahasa ibunda. Berteraskan inspirasi, inovasi dan insan, kami percaya semua orang mempunyai ilham dan ilmu yang boleh menyemarakkan ingin tahu serta inisiatif kepada mereka yang berada di sekeliling.

Laman web i3 boleh dilayari di http://i3portal.wordpress.com dan FB Page boleh dilawati di sini.

Karya Terjemahan Terbaru




Alhamdulillah, terbit jua akhirnya karya terjemahan terbaru saya iaitu Rich Dad Poor Dad. Terima kasih kepada pihak PTS Pro atas peluang dan kepercayaan yang diberikan. Buku ini akan dijual secara eksklusif di Popular sehingga bulan Julai.

- Posted using BlogPress from my iPad

Location:Jalan 46/10,Batu Caves,Malaysia

Definisi Diri

Mungkin soalan yang paling sukar untuk saya jawab adalah "Kamu kerja apa?"

Jika diikutkan ijazah, maka yang tertera adalah Computer Science. Pengkhususan tahun akhir pula dalan Security & Networking. Kebiasaannya akan menjadi Network Engineer atau Analyst tetapi kerja saya jauh menyimpang dari itu.

Jika diikutkan jumlah wang yang masuk sejak graduasi paling banyak adalah dari kerja-kerja terjemahan diikuti fotografi, IT dan training. Jadi kalau duit ukurannya, maka saya adalah seorang penterjemah. Namun hasil kerja saya yang paling banyak dilihat oleh orang awam adalah fotografi dan ramai yang menganggap saya fotografer freelance. Ada pula yang mengenali saya sebagai penulis

Bagaimana ini boleh berlaku?

Bila bekerja sendiri, tidak semestinya masa sebulan diperlukan untuk melengkapkan keperluan kewangan sebulan. Ada masanya dua minggu, jika ada durian runtuh dua hari sahaja sudah cukup. Kena pula waktu yang lembap, dua bulan baru dapat mencukupi keperluan sebulan. Pendek kata, saya ada waktu lebih.

Waktu lebihan sambil menunggu tugasan seterusnya atau menunggu bayaran itu digunakan untuk belajar kemahiran lain dan buat kerja freelance guna kemahiran lain pula. Jika tidak pun saya ambil cuti seminggu dua golek-golek di rumah.

Kebanyakan orang keliru antara pekerjaan dan identiti seseorang itu. Selama ini kebanyakan orang hanya mempunyai satu pekerjaan sepanjang hayatnya lantas menjadikan pekerjaan itu sinonim dengan siapa orang itu. Namun kini perbuahan pasaran kerja dan k-ekonomi membolehkan serta memerlukan seseorang itu membuat banyak kerja.

Apa yang pasti, saya banyak buat kerja-kerja kreatif yang memerlukan saya memikirkan penyelesaian-penyelesaian baru. Mungkin saya patut letak jawatan saya Creative Executive - Eksekutif Kreatif sahaja.

Ekskutif Kreatif - menarik juga bunyinya...

Permulaan Baru

Adakalanya, lebih baik kita mencari tapak baru dan mula semula dari kosong. Pada asalnya saya mahu mengimport entri-entri lama dari blog Studio Inspirasi tetapi setelah difikirkan semula saya memilih untuk mula dari kosong.

Blog pertama iaitu Ibnu Ariff Web Log bermula dari tahun 2003 kemudian terhenti sekitar tahun 2008. Ditulis dalam Bahasa Inggeris, entri terakhirnya adalah tentang kahwin. Kebetulan pula saya hendak memulakan blog ini dalam sebulan sebelum berkahwin. 

Entri-entrinya dahulu lebih banyak berkisar tentang teknologi, kembara dan kehidupan seharian. Ada juga serba sedikit tentang Islam dan nasyid. Blog ini tidaklah begitu popular tetapi telah membawa saya mengenali pelbagai orang dari seluruh dunia - Jepun, Kanada, UK, Singapura, dsb. Ramai juga saya telah temui di dunia nyata dan persahabatan itu berterusan sehingga sekarang.

Paling penting, blog ini juga membawa saya mengenali para penulis yang kemudiannya membawa saya sendiri menjadi penulis dengan karya-karya saya diterbitkan oleh PTS. Penglibatan sebagai penulis pula membawa saya membuka blog kedua iaitu Studio Inspirasi. Fokusnya lebih kepada penulisan terutamanya fiksyen sains dan fantasi. 

Namun dari situ pula saya keluar masuk dunia training, terjemahan, pembangunan aplikasi, bisnes, fotografi dan videografi dengan didasari pendidikan formal dalam bidang sains komputer lantas menjadikan blog itu sudah tidak dapat menampung kegiatan penulisnya. Sepanjang tempoh itu juga saya bereksperimen, mengembara dan mencari apa sebenarnya potensi diri ini.

Maka, blog ini akan menjadi sintesis serta sinergi pengalaman-pengalaman lepas dan dalam masa yang sama menempa pemikiran-pemikiran baru bagi meneroka masa hadapan.