Bila bercerita tentang startup dan app, ramai yang akan terbayang Silicon Valley. Masing-masing bercerita untuk menjadi Facebook seterusnya, tentang mendapatkan pelaburan beratus-ratus juta dan pasaran global yang bernilai berbilion-bilion. Ini selalunya bermakna app dalam Bahasa Inggeris dan disasarkan untuk pengguna global.
Namun, saya dan rakan-rakan mengambil pendekatan berbeza. Kami memilih untuk menghasilkan app dalam Bahasa Melayu untuk pasaran Malaysia. Kami telah melancarkan UrusKelas.com dan akan melancarkan RoketSMS.com beberapa hari sahaja lagi.
Kami berjumpa ramai usahawan Melayu yang menyatakan mereka tercari-cari app yang sesuai untuk menyokong perkembangan bisnes mereka. Banyak perniagaan yang masih bergantung kepada sistem berasaskan kertas dan fail. Jika ada rekod elektronik pun sekadar Word & Excel yang digunakan secara offline.
Kekangan pada sistem pengurusan perniagaan ini menghambat ramai usahawan Melayu daripada membesar. Bila masuk dua cawangan, ramai usahawan sudah mula tercungap-cungap untuk memantau bisnes mereka. Mereka sudah mula tidak tahu dari mana wang mereka masuk, ke mana keluar, siapa pelanggan dan sebagainya.
Tanpa sistem, mereka sukar untuk menurunkan kuasa kepada staf. Ramai usahawan terpaksa menjadi hero setiap hari pergi ke setiap cawangan bisnes mereka semata-mata untuk memantau. Sedangkan kerja sebenar usahawan adalah untuk membangunkan bisnes dan mencari peluang-peluang baru.
Mereka yang mengatakan usahawan Melayu tidak pandai berniaga memang sudah termakan omongan kosong dan cerita tahyul. Mereka sebenarnya pandai berniaga cuma perlu sedikit pertolongan untuk memajukan bisnes mereka. Pertolongan itu bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk sistem dan ilmu.
Adakah usahawan kita bodoh sangat tidak tahu Bahasa Inggeris sehingga tidak boleh menggunakan app yang sedia ada? Ramai usahawan yang boleh menggunakan app Bahasa Inggeris tetapi seharusnya pengguna sebenar app dalam bisnes adalah staf mereka. Ramai staf setakat kelulusan SPM dan Diploma serta kurang fasih dalam Bahasa Inggeris.
Perkasakan Bahasa Inggeris & Memartabatkan Bahasa Melayu?
Pfft...
Sekiranya semua staf usahawan fasih Bahasa Inggeris dan bertutur dengan Queen's English sekalipun, app yang sedia ada banyak tidak sesuai dengan keperluan bisnes orang Melayu. Harus diingat, kebanyakan mereka beroperasi dengan resit kertas dan buku akaun. Melompat terus kepada app yang sosfikated hanya akan mengelirukan mereka dan melambatkan operasi.
App yang sedia ada mempunyai terlalu banyak feature. Bahkan, hendak ambil app open source dan buang feature yang tidak perlu pun tidak praktikal. Lebih baik bina app dari kosong dan ikut keperluan bisnes tempatan. Logik dan cara operasi mereka juga berbeza.
Usahawan secara individu pula kebanyakannya tidak mampu untuk menggajikan developer bagi membangungkan sistem yang memenuhi keperluan mereka. Jika mampu sekalipun, ramai yang tidak tahu bagaimana berkerja dengan developer. Sudahnya, app yang diinginkan tidak menjadi kenyataan.
Oleh itu, kami mengambil inisiatif untuk membangunkan sendiri app bisnes Bahasa Melayu tanpa sebarang suntikan modal luar. Kami hasilkan app dan para usahawan hanya perlu membayar yuran langganan dan penggunaan. Tidak perlu lagi berbelanja beribu-ribu atau berpuluh-puluh ribu untuk mendapatkan app, hanya bayar yuran pada harga mampu milik.
Esok, saya akan bercerita mengapa kami mencipta RoketSMS. Bagi yang sudah tidak sabar untuk mengetahui tentang RoketSMS, mohon klik link ini.
bagus semangatnya. Kekal istiqomah untuk bahasa melayu. Semoga saja bermanfaat untuk semua
BalasPadam