Mengapa pemikiran ini bahaya?
Pemikiran ini bahaya kerana business plan ini pernah menjadi satu ketika dahulu. Iya, dahulu bukan sekarang. Business plan ini hidup dalam Era Industrial atas dua faktor, kesukaran mendapatkan bekalan/modal dan kesukaran untuk berhubung dengan pelanggan.
Tetapi sekarang kita hidup dalam Era Long Tail, di mana pembekal produk boleh berhubung terus dengan pelanggan - menghapuskan margin orang tengah yang berlapis-lapis. Modal? Mereka yang berjaya mendapatkan kepercayaan pembeli boleh sahaja melakukan pre-order. Asalkan dapat pelanggan yang mencukupi (dan kena gayanya), maka automatik ada pemodal.
Akses kepada modal dan pelanggan adalah sesuatu yang sukar dahulu. Kini kedua-duanya terbuka kepada semua. Pada era dahulu, tidak ramai yang mampu melaksanakan sesuatu business plan. Oleh itu, persaingan adalah sangat rendah dan kemungkinan untuk berjaya lebih tinggi. Pelanggan tidak ada pilihan dan beli sahaja barangan 'keperluan'.
Era Long Tail bermakna keadaan pasaran bertukar lebih cepat. Business plan yang menjadi semalam tidak semestinya menjadi hari ini. Business plan yang menjadi dengan modal RM1000 pula tidak semestinya untung 10 kali ganda sekiranya modal ditamba menjadi RM10,000. Dinamisme pasaran sebegini bermakna satu-satunya cara untuk terus hidup dan berkembangan adalah melalui eksperimen berterusan.
Kisah Gudang Corelle
Sebelum bulan puasa saya ada menulis tentang bagaimana ada syarikat mahu mengambil stok Corelle dan menjualnya melalui rangkaian ejen. Malah, syarikat ini menawarkan pembiayaan dan menghubungkan antara pemodal dengan ejen. Bunyinya memang gah dan hebat di atas kertas dengan istilah seperti investor, venture capital serta hipermarket dilempar sesuka hati.
Perkiraan mudah sebelum ini sudah menunjukkan mereka akan mengalami persaingan sengit dengan peniaga individu yang mempunyai cost structure yang lebih lean. Saya juga ada menyebut tentang risiko kerosakan dan kos logistik.
Secara idealnya, mereka mahu menjual semua stok mereka sebelum hari raya. Namun, stok sampai lambat dan menyebabkan mereka terlepas waktu puncak orang shopping raya. Bila stok sampai pula, ada produk yang mengalami kerosakan hampir 50%. Mana yang tidak rosak pula berhadapan dengan kos pos lebih tinggi dari yang dijangka.
Inilah bahaya tidak menjalankan bisnes secara Lean Startup. Belum pun pernah mencuba bisnes tersebut sudah berani mahu menjanjikan pulangan kepada pemodal dan ejen. Bak kata orang Inggeris, 'The Devil is in the Details'. Secara kasar semuanya nampak baik di atas kertas tetapi apabila kita cuba buat, perkara-perkara kecil ini yang akan menggagalkan kita.
Tolak masalah-masalah ini sekalipun kegilaan mendapatkan ejen sebenarnya pantas menggagalkan bisnes. Tanpa mengetahui bilangan ejen yang sesuai, pasaran cepat tepu. Akhirnya, para ejen mudah berlaga sesama sendiri dan melakukan kesilapan paling klasik.
Ejen tidak dapat menjual dan hanya mahu menghabiskan stok. Malah mereka tidak segan-silu memaparkan harga ejen kepada awam. Mereka tidak kira, dalam fikiran mereka hanya mahu mendapatkan kembali modal dan membayar balik kepada pemodal.
Setakat ini dahulu coretan saya dan kisah ini mahu saya bakulsampahkan. Malas bercerita tentang kesilapan bodoh sebegini sebenarnya. Saya lebih suka untuk bercerita tentang apa yang boleh jadi supaya kita semua boleh maju ke hadapan.
Selamat pulang ke kampung halaman dan Selamat Hari Raya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan