Industri Buku Hampir Mati?

Baru-baru ini beberapa orang rakan mengadu royalti tahun 2015 masih belum dibayar. Walhal 2016 sudah masuk suku terakhir. Rakan lain pula mengadu sekarang setiap editor hanya dibenarkan menerbitkan satu naskhah sahaja. Itu pun kalau editor tidak ditukarkan ke bahagian sales dan marketing.

Aduan-aduan ini bukan tentang syarikat penerbitan yang setahun jagung. Semuanya menyinggung syarikat-syarikat yang sudah lebih sedekad beroperasi. Penerbit-penerbit ini mempunyai berpintu-pintu gudang. Apa yangs edang berlaku? Apa makna semua ini?

Jika dilihat di sekitar Lembah Klang, bunting acara dan pesta buku tergantung di sana-sini. Hampir setiap bulan ada sahaja pesta buku besar dan kecil. Hatta Sog yang selama ini syurga shopping sang suri pun tidak terlepas menjadi tuan rumah pesta buku.

Namun apa sebenarnya di sebalik percambahan pesta buku ini? Adakah untuk penulis turun padang bertemu pembaca? Mencari khalayak pembaca baru? Menahan lukah di lubuk penerima BB1M? Atau sekadar meleupuskan stok?

Ada beberapa penganjur dan penerbit tanpa segan silu mencangkan jualan gudang dan lelongan buku dari serendah RM1. Ini adalah bahana kos tersembunyi penerbitan buku iaitu kos penyimpanan stok. Kos ini selalunya tidak muncul dalam unjuran P&L penerbitan kerana sukar dijangka dan dikira. Payah untuk mengetahui berapa lama longgokan buku menghuni ruang lantai gudang.

Pihak yang rajin kira kos lantai adalah kedai buku. Ini kerana mereka membayar sewa ikut kiraan kaki persegi. Setiap inci kedai perlu menjana pendapatan yang boleh menampung kos sewa. Tambah pula setiap sudut dalam kedai mempunyai potensi jualan yang sama. Potensi tinggi di muka pintu tetapi sangat rendah di tepi stor.

Namun kita dapat lihat saban hari semakin kurang ruang lantai yang diperuntukkan oleh kedai buku untuk menjual buku. Alat permainan, peralatan kraftangan, aksesori IT, snek dan gula-gula semakin merajai. Tolak ketepi buku teks dan latihan sekolah, mungkin hanya separuh kedai yang benar-benar menjual buku.

Selama ini memang kedai buku menjadi saluran utama untuk buku sampai ke tangan pembaca. Penulis harus melalui penerbit, pengedar dan pekedai untuk menemui pembcasa. Rangkaian-rangkaian kedai buku di pasaraya-pasaraya utama di seluruh negara memegang akses kepada kelompok pembeli yang berwang.

Penerbit tidak mampu membuka kedai dalam pasaraya. Begitu juga penulis tidak mempunyai wang untuk menyewa kiosk di kompleks membeli-belah. Oleh itu akses terhadap pelanggan yang dipegang oleh rangkaian kedai buku sangat berharga. Ada penerbit baru yang sanggup membelanjakan RM1 juta untuk memastikan buku mereka sampai ke kedai-kedai rangkaian ini.

Pada awalanya kedai buku adalah rakan bisnes yang sinergetik kepada penerbit. Namun lama-kelamaan mereka mula buat perangai tuan tanah kedaung. Mereka menekan diskaun yang tinggi dari penerbit dan lewat pula membayar consignment.

Dalam jangka masa pendek ini memang menguntungkan pekedai tetapi dalam jangka masa panjang sebenarnya memakan diri. Apabila menghadapi aliran tunai yang tercekik, penerbit tidak berani berinovasi dan bereksperimen.

Hal ini menyebabkan penerbit mengambil jalan selamat menghasilkan buku untuk kelompok massa. Jika diamati, banyak buku bestseller sebenarnya adalah untuk kelompok yang biasanya tidak membaca buku. Mereka hanya beli buku resepi, buku cinta dan buku konspirasi. Penerbit dan pekedai naik seronok menjual kepada kelompok massa yang sebenarnya berhenti membaca sebaik sahaja tamat sekolah.

Kehadiran BB1M (Baucar Buku 1 Malaysia) yang dijulang sebagai penyelamat industri buku sebenarnya menjadi api dalam sekam. Subdsidi mengherot pasaran dan menyuntik hype yang tidak mapan.

Tiba-tiba kelompok massa yang bukan pembaca tegar memegang kuasa beli terbesar. Mereka tidak tahu hendak beli apa kerana selama ini tidak membeli. Ada yang tukar sahaja baucar jadi wang tunai. Sebahagian lagi pula beli notebook, smartphone atau power bank untuk lebih asyik melayari Facebook!

Mereka yang masih ikut peraturan pula mahu beli buku apa? Maka datanglah penerbit-penerbit baru yang hipster sejati, setengah hipster dan hipster jadian. Mereka menghidangkan judul-judul yang selama ini tidak diketengahkan penerbit mainstream. Lebih seksi, lebih ganas, lebih lantang dan lebih serba-serbi.

Kelompok massa BB1M ini tidak begitu cerewet. Asal ada baucar dan bukunya nampak seronok mereka beli sahaja. Bukan duit mereka pun, duit percuma dari kerajaan fikir masing-masing. Jadi mereka tidak kisah harga buku tersebut RM30 walaupun buku setebal itu selama ini berharga RM20. Typesetting buruk dan cetakan senget pun tidak jadi masalah. Pergi pesta buku mereka sambar sahaja pakej buku RM50 dan RM100 tanpa berfikir panjang.

Dalam kemabukan subsidi ini, semua orang dalam industri buku seakan lupa ancaman Internet yang mengubah semua industri. Pembaca buku tegar beralih ke Internet bagi menggali lebih dalam serta luas bidang dan penulis yang mereka minati. Mereka membeli terus terus dari penerbit butik atau penulis.

Oleh itu kita dapat lihat kembalinya penerbit jawi. Ada juga penulis yang terbit sendiri dan dapat menjual 3000 naskhah dalam masa sebulan. Sebuah penerbit butik pula terus hidup menerbitkan buku sejarah yang selama ini dikatakan terlalu niche untuk dijual. Ya, memang terlalu niche untuk dijual di kedai buku tetapi ada audiens di Internet dan ceramah-ceramah.

Ramai penceramah dan trainer menerbitkan buku sendiri dan jual semasa program mereka. Mengapa tidak? Kosnya serendah RM5 senaskhah dan kuantiti minimum hanya 50 unit sekali tempah.

Internet mengangkat yang ekstrem. Kita semakin mudah mencari yang niche berbanding sesuatu untuk kelompok massa. Resepi, cerita cinta dan teori konspirasi bersepah di Internet. Banyak copy paste begitu sahaja tanpa tahu siapa penulis asal.

Dunia kini luas terbuka untuk penulis menerbit apa sahaja melalui Internet. Garis pemisah antara cerita cinta dan porno hampir tidak wujud di Internet. Hatta untuk novel yang konon ‘cinta Islami’! (Baca: Kalau anda rasa Ombak Rindu memualkan ada banyak lagi yang lebih menjijikkan di Internet)

Bila BB1M tamat, adakah kelompok massa ini akan kembali ke kedai buku? Adakah mereka akan beli buku lagi bila segala yang mereka suka tersedia percuma lagi gratis di Internet?

Internet bukan sahaja membuka pintu seluas-luasnya kepada hedonisme malah memberi ruang untuk integriti ketinggian ilmu dan integriti. Audiens boleh berinteraksi secara langsung dengan ulama terkemuka dan mendapat respons terus tanpa mengeluarkan sesen pun.

Sal Khan memberi tuisyen percuma melalui Khan Academy. Saintis menerbitkan jurnal saintifik secara percuma. Jurutera dan pereka meletakkan rekaan industrial untuk didownload semua. Programmer terlibat dalam projek open source setiap hari. Mereka yang murah hati pula dengan mudah dapat menyalurkan wang menyokong inisiatif-insiatif ilmu.

Industri muzik telah dilanda gelombang badai Internet. Kedai CD sudah hampir pupus tetapi kita mendapat akses kepada lebih banyak muzik. YouTube, Spotify dan iTunes dalam smartphone meletakkan kedai CD terbesar di dunia dalam poket semua orang. Konsert dan gig semakin bercambah dengan harga tiket yang semakin mahal. Orang-orang muda datang ke konsert artis-artis veteran yang mereka kenali melalui Internet.

Jika trend ini diterjemah kepada industri buku maka hampir semua kedai buku akan tutup tetapi buku akan tetap rancak diterbitkan. Penulis pula tidak boleh sekadar menulis tetapi harus menjadi penceramah, trainer atau konsultan. Buku dan tulisan bertukar dari bahan jualan menjadi bahan marketing untuk bisnes lain.

Apakah langkah yang akan diambil oleh para pemain industri buku? Adakah mereka akan tunggu sahaja dihanyutkan gelombang Internet atau mencari papan luncur untuk menunggang ombak yang sukar dijangka? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan